“Ada Perkara Yang Anak Buat Sebab Dia Tengok Mak Ayahnya Buat…”
Kita selalu mengarah tetapi kita lupa, anak ini akan bertindak seperti mana apa yang dia nampak dalam kehidupan sehariannya.
Jadi layak ke kita marah jika kita sendiri sebagai mak ayahnya tetap buat perkara yang anak tak patut tiru?
Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian Puan Farizal Radzali ini. Masih belum terlambat untuk kita baiki mana yang silap demi masa depan anak-anak.
Anak Buat Kerana Dia Lihat Apa Yang Ada Persekitarannya
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jarang kita dengar ibu bapa nak anak mereka jadi jahat. Kita sediakan yang terbaik buat mereka, kita sanggup bersusah payah demi memenuhi kehendak mereka.
Namun adakala anak-anak kita masih berada di tahap yang lemah, di tahap yang tidak memuaskan hati kita. Sampai adakala kita marahkan mereka, ungkit segala pengorbanan kita demi nak menjadikan mereka insan berguna.
Kita lupa, ada perkara yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ada perkara yang tak boleh diajar dengan hanya berkata-kata. Ada perkara yang anak-anak buat kerana mereka lihat kita buat.
Kita menyuruh mereka siapkan kerja sekolah, tapi kita memasang tv di hadapan mereka.
Kita menyuruh mereka membuat kerja rumah, tapi kita duduk bermain telefon.
Kita menyuruh mereka bercakap dgn lembut, tapi kita sendiri menengking mereka.
Kita menyuruh mereka berkawan baik dgn semua org, tapi ibu ayah bertengkar di depan mereka.
Kita menyuruh mereka solat sebaik terdengar azan, tapi kita masih menonton tv.
Kita menyuruh mereka menghormati ibu ayah tapi ibu tak hormat ayah dan ayah tak hormat ibu.
Kita menyuruh mereka minta maaf jika buat salah, tapi kita sendiri tak peduli bila dah buat salah terhadapnya.
Kita bandingkan diri kita semasa di usianya dulu, tapi kita lupa bandingkan tekanan mereka di zaman ini dgn zaman kita.
Kita menyuruh mereka jangan membazir dgn peralatan mewah, tapi kita sendiri sering bertukar handphone berjenama kerana mengejar teknologi terkini.
Kita berdoa kepada Allah agar anak-anak kita dilindungi dari anasir jahat, tapi kita sendiri menonton perkara jahat di media sosial.
Kita sogok anak-anak dgn cerita superhero luar negara sampai anak-anak kita kenal siapa mereka, dari mana asal usul mereka & apa kuasa mereka, superman, spiderman, transformers, ahli avengers semuanya tapi kita tak kenalkan siapa nabi dan rasul, nama malaikat dan tugasnya.
Kalau tak kerana wujudnya pelajaran Pendidikan Islam di sekolah, mungkin anak-anak kita tak kenal siapa mereka. Bahkan kita pun terpaksa struggle nak recall balik apa tugas setiap malaikat.
Ayuh kita cuba semula. Tiada istilah terlewat, Allah itu Maha penyayang, sebab tu Dia selalu beri kita peluang kedua. Pasti ada peluang kedua ketiga dan seterusnya. Samada kita nak sedar atau tak saja. Andai sedar pun, samada kita nak ambil peluang tu atau tak.
Andai kita dah buat segalanya, cara lembut, cara keras, cara tegas, cara kasih, tapi anak-anak kita masih tak capai tahap yang kita nak, percayalah dia juga mahu untuk jadi anak terbaik buat kedua ibubapanya. Ada jalan hidup yang telah Allah aturkan untuknya.
Dan yang paling penting, jangan bandingkan anak-anak, jangan bezakan kasih sayang terhadap setiap anak.
Jangan pandang rendah pada anak yang lemah. Kerana mungkin dialah yang akan menjaga kita di hari tua kelak.
Jangan terlalu pandang tinggi pada anak yang berjaya. Kerana akibat kesibukannya nanti, belum tentu dia mampu menjaga kita di hari tua kelak.
Anak itu amanah. Jangan bangga punyai ramai anak, tapi banggalah bila punyai anak, walau seorang cuma, tapi mampu bawa kita ke Syurga.
The post “Ada Perkara Yang Anak Buat Sebab Dia Tengok Mak Ayahnya Buat…” appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: