Ads Top

Ardell Tak Harapkan Simpati, Mohon Dilayan Seperti Orang Sihat

Semua sedia maklum pelakon kecil molek, Ardell Aryana kini berhadapan masalah kesihatan namun sehingga ke hari ini Ardell masih enggan berkongsi lebih lanjut mengenai penyakit yang dihidapinya.

Menurut Ardell, 29, dia enggan berkongsi lagi mengenai perkara tersebut kerana ia adalah suatu perkara sensitif buat dirinya.

“Saya sebagai manusia biasa bila ditanya mengenai penyakit saya, sudah pasti ia sesuatu perkara yang sensitif. Ada orang yang boleh berkongsi tapi saya tidak begitu.

“Saya pun sebelum ini tidak pernah berkongsi apa yang saya hidapi cumanya orang dapat tahu bila jururawat yang menjaga saya ketika sakit ada bagi kata-kata semangat menerusi ruangan komen di Instagram, jadi secara tidak langsung orang tahu tentang penyakit saya dari situ.

“Saya memang tak marah pun sebab saya tahu niat jururawat itu. Dia sekadar nak bagi kata-kata dorongan dan semangat buat saya sahaja,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ardell ditemui pada malam gala filem XXRay 3 yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Damansara semalam.

Menurut Ardell lagi, sepanjang menjalani tempoh rawatan dia hanya mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan rakan baiknya iaitu pelakon Nadzmi Adhwa.

“Bila kita sakit tak ramai yang ada di sisi, cuma ahli keluarga dan beberapa rakan rapat termasuk Adhwa sahaja yang sering kali beri kata semangat buat saya.

“Keluarga dan rakan-rakan rapat inilah yang menjadi pemangkin saya untuk terus tabah dan bersabar dengan ujian yang diberikan ini.

“Saya memang berharap orang tak layan saya sebagai pesakit. Saya tak nak simpati orang pun, tolong anggap saya macam orang yang normal (tak sakit).

“Sekarang saya cuma nak sihat sebab mak saya letak harapan nak tengok saya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala,” katanya lagi.

Ardell akan kembali menjalani rawatan susulan bermula Februari ini selepas kali terakhir melakukannya pada November lalu. – KopiPlanet.com

The post Ardell Tak Harapkan Simpati, Mohon Dilayan Seperti Orang Sihat appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.