Anak Lelaki Penghidap Sindom Nefrotik Inilah, Peneman Abah Ke Hospital
Sesungguhnya Allah sebaik perancang ya mak ayah. Apabila sesuatu yang kita harapkan belum tertunai, jangan bersedih hati.
Sebab Dia sudah sediakan jalan terbaik untuk kita tempuh. Inilah yang dilalui ibu anak 4, Azura Abdullah. Bila mana anak ketiganya, Irsyad disahkan Sindrom Nefrotik.
Dan Irsyadlah satu-satunya harapan untuk ibu ini melihat anak menjejak kaki ke sekolah berasrama. Sayangnya, bukan itu ketentuanNya. Awalnya ibu ini sedih, sehingga Allah nampakkan hikmah yang dia tak lihat sebelum ini.
Dalam Diam Harapkan Irsyad Masuk Sekolah Berasrama
Saya ada terbaca debate bab sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah harian yang melintas di timeline saya. Saya nak share sedikit pengalaman sendiri bab ni.
Pada Januari 2016 anak saya Irsyad disahkan mengidap Sindrom Nefrotik (kebocoran protein pada buah pinggang). Pada tahun ini juga Irsyad menduduki peperiksaan UPSR.
Dalam diam saya ada juga meletakkan harapan untuk Irsyad masuk ke sekolah berasrama kerana saya sendiri adalah produk sekolah berasrama.
Saya dapat lihat banyak manfaatnya dalam membina sahsiah diri dengan tinggal di asrama sekolah terpilih. Seperkara lagi harapan saya dalam diam itu barangkali kerana anak pertama dan kedua juga tidak bersekolah di sekolah berasrama.
Irfan berkeras tidak mahu mohon mana-mana sekolah berasrama selepas mendapat 7A peperiksaan PT3 kerana risaukan saya dengan keadaan kesihatan Abahnya tidak menentu.
MekNa memang awal-awal lagi tak mahu ke mana-mana, dok asrama tak boleh lepas gian buat kek katanya. Saya seolah-olah mahukan hasrat saya dipenuhi oleh anak ketiga pula iaitu Irsyad.
Anak Ketiga Ini Kerap Kali Keluar Masuk Hospital
Walaubagaimanapun semakin hari harapan saya semakin pudar. Irsyad begitu kerap keluar masuk hospital, sebanyak 6 kali pada tahun 2016 dan minima 2 minggu setiap kalinya.
Irsyad banyak terlepas kelas. 2 minggu sebelum peperiksaan UPSR Irsyad masih di wad Hospital USM.
Secara automatiknya saya tidak lagi meletakkan harapan. Semuanya sudah berubah. Apa yang penting ketika itu ialah kesihatan dahulu.
Saya beritahu Irsyad perkara yang sama juga. Kesihatan dahulu. Saya tidak mahu Irsyad bimbang hingga menjejaskan kesihatannya.
Keputusan peperiksaan UPSR keluar. Irsyad mendapat 5A1B. Tak terkata saya. Terkejut juga. Alhamdulillah. Guru-guru juga teruja kerana Irsyad terlalu banyak ketinggalan kelas.
Irsyad kemudiannya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Machang dan temuduga ke MRSM Besut, kedua-duanya sekolah berasrama penuh.
Ianya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Impian saya bakal menjadi nyata. Kami membuat keputusan untuk menerima tawaran ke SM Sains Machang dan persiapan dibuat.
Sekolah pula 10 minit sahaja dari rumah. Saya dah siap plan, setiap hari Jumaat akan bawa bekal makanan dan berjumpa Irsyad waktu Irsyad solat Jumaat di masjid berdekatan.
Perancangan kita adalah baik, tetapi perancangan Tuhan sentiasa yang terbaik.
Alami Pula Komplikasi Buah Pinggang
Beberapa hari sebelum hari melapur diri, Irsyad buat kali keenamnya pada tahun tersebut dimasukkan ke hospital lagi akibat komplikasi pada buah pinggang.
Doktor Pakar Nefro menyatakan rasa bimbang jika saya teruskan dengan perancangan saya untuk masukkan Irsyad ke sekolah berasrama penuh.
Diet Irsyad sukar dijaga. Antibodi Irsyad yang agak lemah akibat pengambilan steroid membuatkan risiko Irsyad mudah jatuh sakit adalah tinggi. Jadual asrama pula padat.
Saya akhirnya akur dengan nasihat doktor. Saya percaya Allah swt pasti ada aturanNya yang tersendiri yang saya tidak nampak. Redah sajalah.
Irsyad saya masukkan ke sekolah pilihan bersesuaian dengan keputusannya iaitu SMK Agama Wataniah Machang yang membenarkan pelajar duduk di rumah. Boleh tahan juga jaraknya dari rumah, 20 minit memandu. Kesihatan Irsyad semakin stabil, alhamdulillah.
Pada tahun berikutnya, Ogos 2017, suami saya diserang strok buat kali kelima dan memerlukan jagaan sepenuhnya dari penjaga.
Bulan April 2018 pula, anak sulung saya Irfan menerima tawaran belajar di Kolej Universiti Perubatan Antarabangsa Pusrawi dalam jurusan Sains Perubatan.
Fahamlah saya aturanNya.
Rupanya Allah Atur Dia Jadi Peneman Abah Ke Hospital
Kini Irsyadlah antara semangat saya di rumah menggantikan abangnya yang jauh di Kuala Lumpur. Irsyad bergilir dengan kakaknya MekNa dan adiknya Si Kenit menjaga Abah mereka di rumah dan juga bergilir mengambil cuti menemani saya membawa Abah mereka ke hospital untuk temujanji doktor.
Saya tidak dapat melakukannya sendirian kerana suami saya mempunyai impak mental dan penglihatan. Nak parking kereta, nak turunkan suami dan wheelchair dari kereta, nak ambil ubat, nak ke tandas dan sebagainya saya perlukan pembantu.
Anak-anaklah yang menjadi kekuatan saya. Ilmu kehidupan yang mereka kutip sekarang di rumah juga tidak kurang mahalnya untuk menjadikan mereka manusia yang menjadi, bukan ukuran akademik semata-mata.
Kadang-kadang kita terlalu merancang dan bimbang hingga lupa untuk live the present moment. InsyaAllah ada manisnya setiap kejadian jika dipandang dengan penuh hikmah. Jika negatif sahaja yang kita cari, negatif jugalah yang kita temui.
Tuhan beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu.
MekZurots
Sumber/Foto : Azura Abdullah, www.mekzurots.com , redah sajalah Allah ada
Maklumah : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
The post Anak Lelaki Penghidap Sindom Nefrotik Inilah, Peneman Abah Ke Hospital appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: