MADAM Ambil Masa Setahun Hasilkan Album Sulung ‘MADAM: The Album’
Band rock tempatan, MADAM, bakal melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni mereka dengan pelancaran album sulung berjudul “MADAM : The Album” yang akan dilancarkan secara rasmi pada 22 April 2026.
MADAM, singkatan kepada “Men of Another Day Another Music”, merupakan sebuah band rock dinamik dari Malaysia yang dikenali dengan identiti bunyi tersendiri serta semangat yang konsisten dalam berkarya sejak tahun 2020. Penubuhan band ini sejak 2019 menjadi titik mula kepada perjalanan muzik yang penuh eksplorasi dan pembelajaran.
Album ini menandakan kematangan MADAM sebagai sebuah band, menampilkan 8 buah lagu original yang ditulis dan diterbitkan sepenuhnya oleh ahli band sendiri.
Mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, album ini menggabungkan elemen modern rock, alternative rock, pop rock dan soft rock, menghasilkan pengalaman pendengaran yang pelbagai dan emosional.
Dari segi tema, album ini menyentuh pelbagai dimensi cinta, hubungan dan konflik peribadi, dengan setiap lagu membawa naratif dan emosi yang berbeza.
MADAM turut mengekalkan keseimbangan antara formula lagu mainstream dan eksperimen bunyi bagi membentuk identiti muzik mereka yang tersendiri.
Single fokus bagi album ini, “Antara Garisan”, mengangkat kisah kekecewaan dalam hubungan yang dipenuhi penipuan dan ilusi.
Lagu ini menggambarkan perjalanan emosi seseorang yang mula menyedari hakikat sebenar di sebalik kata-kata manis dan tidak semua yang indah itu benar.
Melalui lirik yang puitis dan susunan muzik yang penuh tenaga, “Antara Garisan” menjadi simbol keberanian untuk melihat kebenaran walaupun pahit.

Keunikan album ini turut terletak pada pendekatan produksi DIY oleh MADAM sendiri. Selepas melalui pengalaman menunggu keputusan pihak luar dalam karya terdahulu, band ini mengambil langkah berani untuk bergerak secara independen iaitu menguruskan keseluruhan proses daripada penulisan, rakaman sehingga penerbitan.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi kebebasan kreatif, malah menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan MADAM sebagai artis yang berdikari.
Menurut vokalis MADAM, Putera Muhammad,” album ni lahir dari passion semua orang dan akan jadi mustahil kalau tak ada sokongan daripada semua. Semoga album ni dapat kukuhkan lagi tempat MADAM dalam industri.”
Album ini diedarkan oleh Sony Music Malaysia dan turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures di bawah program Dana Kandungan Kreatif, sebagai usaha berterusan dalam menyokong pembangunan industri kreatif tempatan. Astro Gempak turut terlibat sebagai rakan digital rasmi bagi pelancaran ini.
Dengan pelancaran “MADAM : The Album”, band ini berharap untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan serta memperkenalkan identiti bunyi mereka kepada khalayak yang lebih luas. – KopiPlanet.com
The post MADAM Ambil Masa Setahun Hasilkan Album Sulung ‘MADAM: The Album’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: