Kisah Sindiket Penipuan Kerja Di Luar Negara Jadi Plot Utama Dalam Filem Tiket Sehala
Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan, syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. telah menganjurkan majlis berbuka puasa pada 2 Mac lalu.
Bukan sekadar majlis berbuka, namun acara turut dimeriahkan dengan pelancaran filem terbaharu terbitan syarikat berkenaan iaitu Tiket Sehala yang dijadualkan akan ditayangkan pada Ogos 2026.
Sesuatu yang menariknya, filem arahan Rahila Ali ini mengangkat kisah tentang kes mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
“Tiket Sehala adalah berinspirasikan daripada kisah benar yang sememangnya sebuah masalah global, termasuk rakyat Malaysia sendiri ramai yang terjebak dalam sindiket tersebut.
“Ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan rasa terbitnya tanggungjawab untuk menunjukkan kesan dan akibatnya kepada penonton apabila menjadi mangsa,” ujarnya.
Antara barisan pelakon yang membintangi filem Tiket Sehala adalah Noki K-Clique, Jaa Suzuran Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin (Saha Champ).
Menariknya, filem ini turut menampilkan barisan pelakon empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Antaranya pelakon dari Korea Selatan seperti Hyunjun Sun, Ninja dari boyband SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra (Indonesia).

Sementara itu, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap berkata, pihaknya berminat untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang ditampilkan.
“Saya melihat cerita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang dihasilkan, sedangkan ia satu masalah yang cukup besar dan membimbangkan.
“Jadi, menerusi Tiket Sehala, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran buat seseorang individu untuk lebih berhati-hati jika menerima tawaran bekerja di luar negara,” jelasnya.
Ujarnya, filem ini turut menjalani penggambaran di Korea Selatan, malah turut menggabungkan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
“Dengan gabungan tersebut, sekurang-kurangnya memberikan pengalaman kru produksi Malaysia mempelajari sesuatu yang baharu daripada pihak luar agar dapat meningkatkan lagi kualiti filem tempatan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sinopsis
Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap tentang sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam satu sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan. Alif, Putri dan Taqy adalah mangsa dalam kerakusan sindiket yang mengambil kesempatan atas keterdesakan hidup manusia. – KopiPlanet.com
The post Kisah Sindiket Penipuan Kerja Di Luar Negara Jadi Plot Utama Dalam Filem Tiket Sehala appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: