Sebuah Kisah Cinta Penuh Makna Dalam Drama Vertikal ‘My Ramadan Love Story
Bersempena dengan bulan Ramadan, P-Circle bersama Nuansa Sdn Bhd menampilkan sebuah drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story yang mengangkat kisah cinta sederhana tetapi sarat dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan.
Penerbit Nuansa, Jaya Julian, berkata, idea menghasilkan drama itu tercetus daripada detik-detik kecil masyarakat tempatan yang berlaku sepanjang Ramadan.
“Ramadan adalah waktu seseorang memperlahankan langkah, merenung diri serta menjadi lebih peka terhadap hati dan niat.
“Drama ini diilhamkan daripada detik-detik sederhana yang berlaku sepanjang Ramadan, seperti interaksi ringkas di masjid atau sekecil momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa.
“Detik seperti ini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan antara manusia,” katanya pada majlis tayangan perdana dan berbuka puasa bersama media.
Majlis tayangan perdana itu turut disertai anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak produksi dan penganjur, P-Circle, untuk berkongsi kegembiraan sempena Ramadan.
Tambah Julian, keunikan My Ramadan Love Story terletak pada pendekatan penceritaan yang lebih tenang berbanding kebanyakan drama Ramadan yang sering menumpukan konflik besar atau emosi yang dramatik.
“Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang disimpan.
Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya.
“Kami berharap My Ramadan Love Story dapat menyentuh hati penonton kerana kisah yang dibawakan dekat dengan kehidupan ramai orang, khususnya mengenai kesabaran, menjaga batas dalam hubungan serta kepercayaan bahawa setiap perkara berlaku pada waktunya,” katanya.
Pada masa sama, drama ini juga menjadi sebahagian daripada usaha P-Circle untuk memperkasa penghasilan kandungan original tempatan yang lebih segar dan relevan dengan penonton masa kini. – KopiPlanet.com
The post Sebuah Kisah Cinta Penuh Makna Dalam Drama Vertikal ‘My Ramadan Love Story appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: