Ads Top

Karya Terbaharu Wany Hasrita, ‘Lembayung Tari’ Sarat Dengan Nuansa Magis

Dalam balutan cahaya senja yang penuh rahsia dan keindahan, Wany Hasrita kembali mempersembahkan karya terbaharu berjudul Lembayung Tari, sebuah single Pop Etnik yang mengalir lembut namun sarat dengan nuansa magis. 

Terhasil daripada gabungan elemen tradisional dan sentuhan moden, Lembayung Tari mengajak pendengar menyelami ketenangan jiwa melalui irama, cahaya dan gerak rasa yang tidak terucap dengan kata-kata.

Hasil ciptaan gandingan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh ini memberi kelainan kepada penggemar muzik yang sukakan sesuatu karya baharu dan segar. 

Lembayung Tari menampilkan susunan muzik yang unik dengan gabungan elemen tradisional dan moden, ia juga sebuah karya yang bersifat puitis, lembut dan penuh emosi. 

Lebih menarik, susunan muzik Iqie Hugh, menekankan nuansa etnik kontemporari dengan sedikit elemen misteri. 

Lembayung Tari mengisahkan detik magis di waktu senja iaitu saat peralihan cahaya yang melambangkan ketenangan, keindahan dan penyembuhan jiwa. 

Melalui metafora tarian dan lembayung cahaya, lagu ini menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan dan penawar emosi tanpa perlu kata-kata.

Menurut Wany Hasrita, Lembayung Tari merupakan sebuah karya yang dekat di hati kerana ia memberi ruang untuk pendengar “berhenti seketika” daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni gerak.

Lagu ini diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. 

Lembayung Tari kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama bermula 6 Februari 2026. – KopiPlanet.com

The post Karya Terbaharu Wany Hasrita, ‘Lembayung Tari’ Sarat Dengan Nuansa Magis appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.