Fasha Sandha Pertahan Hero Gandingan, Mahu Firdaus Karim Wajar Diberi Peluang Buktikan Bakat
Pelakon popular, Fasha Sandha mempertahankan hero gandingannya dalam drama Doa Yang Terlindung, Firdaus Karim yang dikritik segelintir netizen baru-baru ini.
Fasha berkata, adalah tidak wajar mengkritik Firdaus sebagai hero yang ‘tidak kacak’ dan menganggap pelakon itu wajar diberi peluang membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon.
“Sebagai rakan gandingan dalam drama, saya rasa perlu untuk pertahankannya dan merasakan tidak patut pemilihannya dipersoalkan kerana yakin dia seorang pelakon berbakat.
“Lagipun drama berkenaan baru ditayangkan empat episod. Saya percaya lepas penonton dah menonton lebih banyak episod lagi, pasti mereka terima pemilihan Firdaus sebagai hero,” ujarnya.
Fasha mengulas perkara berkenaan ketika ditemui media pada majlis pelantikannya sebagai duta baharu produk Dunia Herbs yang berlangsung semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Fasha menyatakan bahawa soal paras rupa adalah sesuatu yang cukup subjektif.

“Kalau ikutkan masing-masing ada yang kelihatan cantik dan kacak dengan cara tersendiri. Mungkin individu itu dilihat tidak kacak pada segelintir orang, tetapi untuk segelintir yang lain orang lihat individu itu ‘handsome’.
“Lagipun sepanjang bergelar anak seni dan berada dalam industri lakonan, saya tidak pernah mempertikaikan siapa hero saya,” katanya.
Pada masa sama, Fasha menegaskan dirinya sentiasa meletakkan kepercayaan penuh kepada pengarah, penerbit dan stesen televisyen dalam menentukan pemilihan pelakon yang sesuai untuk diangkat sebagai hero. – KopiPlanet.com
The post Fasha Sandha Pertahan Hero Gandingan, Mahu Firdaus Karim Wajar Diberi Peluang Buktikan Bakat appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: