Rumah Tangga 10 Tahun Berakhir, Nubhan Didakwa Lafaz Cerai Terhadap Isteri Dalam Kereta
Setelah 10 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi dan bekas bintang Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, dilaporkan bakal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang esok bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menerusi laporan Kosmo! permohonan pengesahan lafaz talak itu difailkan Nubhan pada awal bulan lalu, dan prosiding esok dijadualkan sebagai sebutan pertama di hadapan hakim syarie.
“Setakat yang saya tahu, esok merupakan tarikh prosiding pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan.
“Mengenai bila lafaz cerai dibuat, hanya dia yang boleh jelaskan. Tapi difahamkan kedua-duanya akan hadir bersama peguam masing-masing,” ujar sumber yang enggan dikenali.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung sejak Ogos lalu, selepas penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu didakwa melafazkan talak ketika mereka berada di dalam kereta.
“Mereka kini tinggal berasingan dan tiga anak mereka berada di bawah jagaan isterinya,” tambah sumber berkenaan.
Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Afifah mengesahkan anak guamnya akan hadir ke mahkamah seperti dijadualkan.
“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos tahun ini.
“Namun, saya tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok kerana biasanya perlu ada siasatan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Jelas Akberdin, sebarang kenyataan lanjut mengenai punca perceraian hanya akan dibuat selepas prosiding selesai dijalankan.
Untuk rekod, peguam dari firma guaman Akberdin & Co itu sebelum ini turut mewakili beberapa selebriti terkenal termasuk Puteri Sarah Liyana, Diana Danielle, Hafidz Roshdi, Sharnaaz Ahmad, Harith Islander dan Dr. Jezamine Lim dalam kes rumah tangga masing-masing.
Nubhan, 39, dan Afifah, seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3 tahun. – KopiPlanet.com
The post Rumah Tangga 10 Tahun Berakhir, Nubhan Didakwa Lafaz Cerai Terhadap Isteri Dalam Kereta appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: