Ads Top

Mimifly Muncul Dengan Single Baharu Nara, Tonjolkan Seni & Warisan Budaya Malaysia

Bersempena dengan sambutan Merdeka, permainan MOBA mudah alih paling popular di dunia, Honor of Kings (HOK), bersama label tempatan terkemuka Sony Music Entertainment Malaysia dengan bangganya menonjolkan seni dan warisan budaya Malaysia melalui kolaborasi istimewa bersama penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik terkenal tanah air, Mimifly, yang kembali dengan single terbaharunya berjudul “Nara”.

Daripada alunan gamelan hingga ke keindahan pantun dan kisah rakyat, kandungan bertema Merdeka kali ini menggabungkan tradisi dan inovasi — sekaligus mengukuhkan komitmen HOK dalam meraikan kreativiti serta menonjolkan budaya Asia Tenggara di pentas antarabangsa.

“Permainan video kini menjadi antara ruang paling dinamik untuk budaya dan kreativiti berkembang,” kata YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia. “Sambil anak muda kita meneroka cara baharu untuk bercerita dan mengekspresikan diri, kolaborasi antara Honor of Kings dan Mimifly membuktikan bahawa permainan boleh membawa denyut nadi kebanggaan negara, warisan, serta imaginasi. Ia contoh cemerlang tenaga kreatif Malaysia, daripada muzik hingga mitologi, yang berdiri megah di dunia moden.”

“Nara”, Runut Bunyi Kebanggaan Malaysia

Sambutan ini bermula dengan pelancaran “Nara”, single terbaharu Mimifly di bawah Sony Music Entertainment Malaysia. Diinspirasikan daripada legenda Puteri Gunung Ledang, lagu ini memaparkan sosok wanita yang bijaksana, berwibawa, strategik dan penuh keberanian — digubah sebagai sebuah anthem berkuasa yang membangkitkan semangat juang. “Nara” boleh distrim di Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 15 Ogos 2025.

Mimifly menjelaskan bahawa inspirasi “Nara” lahir daripada simbol ketabahan dan ketepatan yang dibawa oleh seorang srikandi, selari dengan naratif HOK yang memaparkan pejuang legenda bertarung di medan epik.

“Ia satu penghormatan buat saya untuk menghasilkan ‘Nara’. Melalui lagu ini, saya ingin menjiwai semangat Puteri Gunung Ledang — kebijaksanaan, keberanian, serta keanggunan — dan menterjemahkan tenaga itu dalam muzik yang membangkitkan pejuang dalam diri kita,” kata Mimifly. “Bagi saya, kekuatan sebenar bukan sekadar datang daripada tenaga, tetapi juga daripada minda dan hati.”

“Saya turut memasukkan bahasa isyarat sebagai tanda penyatuan dan keterangkuman. Sama ada anda pemain game atau tidak, saya berharap lagu ini membakar semangat untuk terus maju dan menjadi versi terbaik diri sendiri.”

Lagu ini menggabungkan pop dan hip-hop dengan sentuhan muzik Nusantara yang menjadi identiti Mimifly, menghasilkan bunyi yang moden tetapi tetap berakar pada tradisi. Dicipta sepenuhnya oleh Mimifly bersama pasukan produksi PriiBoMii, “Nara” dibina dengan melodi berulang yang bersifat “chant-like”, bertujuan membangkitkan semangat juang setiap pendengar.

“Di Sony Music Entertainment Malaysia, kami sentiasa percaya dengan kuasa muzik untuk bercerita dan menyatukan budaya,” kata Ally Siw, Pengarah Kanan, Domestik, Pemasaran & Perkongsian, Sony Music Entertainment Malaysia. “Bekerjasama dengan Mimifly dan Honor of Kings melalui ‘Nara’ membolehkan kami meraikan warisan Malaysia dengan cara yang autentik dan segar. Kolaborasi ini membuktikan bahawa apabila muzik, budaya dan permainan bergabung, kesannya melangkaui hiburan — ia menjadi momen kebanggaan dan identiti bersama.”

Memperkenalkan Nara: Srikandi Dalam Mitos & Keagungan

Pada 28 Ogos, Honor of Kings akan memperkenalkan Skin baharu yang menakjubkan, Puteri Gunung Ledang — interpretasi moden figura legenda Malaysia yang direka dengan rujukan budaya Nusantara. Pemain boleh menebus skin ini secara percuma dalam permainan sehingga 9 September.

Rekaan ini menghidupkan kembali warisan Malaysia — daripada fabrik songket 3D-render hingga motif visual autentik yang diinspirasikan mitologi tempatan. Usaha lokal ini melangkaui aspek visual — ia bertujuan mencipta hubungan emosi, di mana pemain dapat melihat diri mereka dalam karakter yang mereka gemari.

“Di Level Infinite, kami komited untuk menghasilkan kandungan berteraskan lokal yang benar-benar dekat dengan komuniti kami,” kata Eugene Chin, Pengurus Negara, Level Infinite Malaysia. “Kemas kini Merdeka ini lebih daripada sekadar perubahan visual — ia adalah sambutan penuh makna terhadap budaya, identiti, dan ekspresi kreatif. Kami percaya warisan Malaysia mempunyai kisah berharga untuk dikongsikan, dan kami bangga dapat menyampaikannya kepada dunia melalui Honor of Kings.”

Perayaan ini juga akan dilanjutkan ke media sosial dengan cabaran tarian #NARAofHOK, di mana peminat dijemput meniru gerakan ikonik Mimifly daripada video muzik — termasuk koreografi bahasa isyaratnya yang unik. – KopiPlanet.com

The post Mimifly Muncul Dengan Single Baharu Nara, Tonjolkan Seni & Warisan Budaya Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.