Ads Top

Konsert Gelombang Bahagiaku Gandingan Ibu & Anak Catat Kejayaan Luar Biasa, Impian Atilia Haron Kongsi Pentas Bersama Salamiah Hassan Jadi Kenyataan

Pada Sabtu lalu, Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bergema dengan gelombang kasih dan harmoni apabila Atilia Haron berkongsi pentas utama bersama ibunya yang juga legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, menerusi “Konsert Gelombang Bahagiaku”.

Anjuran Mujik Wand Production, konsert ini mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket terjual habis (sold out), disambut meriah oleh penonton yang terpesona dari lagu pertama hingga penutup.

Dua Jiwa, Satu Gelombang

Bagi Atilia, konsert ini adalah impiannya yang menjadi kenyataan.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya, di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan-rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” kata Atilia terharu.

Salamiah pula menyifatkan malam itu sebagai momen berharga dalam kariernya yang kini memasuki tahun ke-55.

“Menyanyi bersama anak saya sepanjang konsert ini adalah hadiah paling indah. Saya gembira, sangat bersyukur, dan berharap kami dapat melakukan lebih banyak konsert bersama nanti,” luahnya dengan penuh rasa.

Persembahan Penuh Warna & Emosi

Tirai konsert dibuka dengan lagu “No Fruits For Today” oleh Atilia, diikuti rangkaian lagu seperti “Old Love”, “Rekah”, medley “Bodoh” dan “Cinta Sampai Mati” serta kolaborasi penuh energi dengan MonoloQue menerusi “Kekanda Adinda”. Atilia turut mempersembahkan “Bahagiaku” bersama pemuzik Jason Voo dengan “Salah Sangka”, “Sangkar”, “Sudah” dan “Selagi”.

Salamiah pula memukau dengan pelbagai genre — daripada lagu “I’m So Excited” ke balada “Surat Terakhir”, medley “Miang Miang Keladi” – “Kau Dan Alasanmu” – “Antara Dua Kasih”, jazz klasik “Frim Fram Sauce”, duet romantis bersama Hardy Arbi dalam “Berdebar-Debar Rasa Hati”, hinggalah ke “Kenang Daku Dalam Doamu”.

Kehadiran Mimifly menambah warna menerusi medley “Sahabat” dan “Angkat”, sebelum Salamiah kembali dengan rangkaian lagu seperti “Superstar”, “Semut Semut Di Titian Usang”, “Menghitung Hari”, “If You Go Away” dan lagu wajib “Gelombang”.

Penutup malam — duet sulung ibu-anak “Age Is Just The Number” mendapat sambutan hangat, dan persembahan istimewa lagu klasik “Empat Dara” bersama Mimifly serta Elvira Arul — membuat seluruh dewan berdiri dengan tepukan gemuruh.

“Bila kami berpandangan sambil menyanyi, saya rasa macam dunia terhenti sekejap. Momen itu yang saya tunggu-tunggu,” kata Atilia.

“Saya dapat lihat di mata Atilia penuh semangat dan kasih… itu yang membuatkan saya rasa ‘inilah kebahagiaan sebenar’,” ujar Salamiah pula.

Kenangan Manis & Harapan Baharu

Selain nyanyian yang memukau, suasana konsert turut dihangatkan dengan sambutan positif dari penonton yang hadir. Merchandise seperti t-shirt konsert yang dicetak khas sebanyak 100 helai habis terjual.

“Ini kali pertama kami membuat merchandise sendiri. Seronok apabila melihat peminat memakai baju konsert sambil bergambar dengan kami,” kata Atilia sambil tersenyum..

Sebagai seorang legenda, Salamiah juga memberi kata semangat kepada generasi baharu.

“Penyanyi muda sekarang hebat-hebat, buat lagu sendiri, belajar vokal. Saya yang sudah 55 tahun dalam industri ini pun masih lagi belajar. Kerana seni itu satu perjalanan tanpa henti,” katanya merendah diri.

Menutup tirai, Atilia mengakui dirinya kini bersedia untuk kembali aktif selepas memberi tumpuan pada perniagaan yoganya.

“Tahun depan saya hendak buat lebih banyak persembahan. Saya rindu berada di pentas. Malam ini membuktikan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai,” ujarnya penuh tekad.

Malam “Gelombang Bahagiaku” bukan sekadar persembahan — ia adalah perayaan kasih, warisan dan muzik yang merentas generasi.

The post Konsert Gelombang Bahagiaku Gandingan Ibu & Anak Catat Kejayaan Luar Biasa, Impian Atilia Haron Kongsi Pentas Bersama Salamiah Hassan Jadi Kenyataan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.