Ads Top

Tak Tahan Pendam Lagi, AGY Akhirnya Bongkar Kisah Lama & Trauma Sejak Kecil

Menginjak usia 30 menjadi titik refleksi penting buat penyanyi dan personaliti media sosial, Muhammad Affizy Mohd Khairy atau lebih dikenali sebagai AGY, apabila dia akhirnya memilih untuk berdamai dengan masa lalu dan memberi ruang kepada dirinya untuk sembuh, selepas bertahun bergelut dengan tekanan emosi yang tidak pernah dikongsi secara terbuka.

Bermula sebagai figura media yang sering menjadi perhatian, AGY mengakui dia tidak terlepas daripada kecaman dan sindiran netizen yang menilai setiap langkahnya dalam industri hiburan. Namun, apa yang ramai tidak tahu, semua itu pernah membuatkan dia hampir hilang semangat.

“Saya pernah terfikir, kenapa ada orang tak suka saya, walaupun saya tak kacau sesiapa. Sampai satu tahap, saya rasa mungkin saya tak cukup bagus untuk teruskan dalam industri ini,” katanya.

Tidak menafikan bahawa di awal kemunculan, hatinya mudah terluka dengan komen-komen negatif. Lama-kelamaan, dia belajar untuk menjadi lebih kuat dan sedar bahawa penerimaan orang bukan sesuatu yang boleh dipaksa.

Bagi AGY, apa yang penting ialah kepercayaan terhadap diri sendiri dan sokongan yang tidak pernah putus daripada keluarganya, terutama ibu bapa, keluarga dan bapa saudaranya (Pak Long) yang sentiasa menjadi tulang belakang meskipun mereka sendiri turut terkena tempias apabila namanya dipetik dalam kontroversi atau kecaman dalam talian.

“Saya kesian pada keluarga. Mereka tak pernah salah, tapi nama mereka terpalit sama bila saya dikritik. Tapi mereka tetap ada di belakang saya, tanpa syarat,” ujarnya lagi.

Mengenang zaman kecil, AGY berkata dia bukan pelajar yang menonjol. Semasa di sekolah rendah, dia tidak pernah meraih sebarang pencapaian membanggakan, malah sering merasa terpinggir. Hanya apabila memasuki alam sekolah menengah, barulah dia mula mengenal potensi dirinya dan lebih berani keluar dari kepompong sunyi.

Namun begitu, pengalaman-pengalaman itu yang disangka telah lama ditinggalkan sebenarnya masih hidup dalam dirinya. Beban emosi yang dipendam sekian lama akhirnya membentuk satu lapisan luka jiwa yang tidak sembuh dengan sendirinya.

Selepas sekian lama menyimpan semuanya sendiri, AGY akhirnya melangkah ke ruang penyembuhan menerusi sesi khas bersama Dr. Hisham Dzakiria atau lebih dikenali sebagai Dr. Healing, seorang pakar pembangunan insan dan jurulatih penyembuhan yang cukup dikenali dalam kalangan mereka yang pernah bergelut dengan trauma, tekanan dan cabaran hidup.

Sesi penyembuhan yang diadakan di Ascott, Kuala Lumpur itu membuka ruang buat AGY untuk berdepan dengan sisi dirinya yang sebenar. Sisi yang sering disorok di sebalik senyuman dan keyakinan yang ditayangkan di khalayak ramai.

“Selama ini, saya banyak simpan semuanya sendiri. Saya jarang menangis depan orang.” katanya.

Salah satu pendekatan yang dijalankan dalam sesi itu adalah teknik ‘melepaskan botol’, di mana dia diberikan sebotol air dan diminta untuk memegang serta memindahkan segala beban emosi ke dalam botol tersebut secara simbolik.

Ia dilakukan dalam keadaan reflektif dan penuh tumpuan sebagai satu bentuk pelepasan sedar terhadap trauma atau perasaan yang tidak pernah diluahkan.

AGY menggambarkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang luar biasa. Tangannya kebas sewaktu proses berlangsung, namun pada masa sama dia merasai kelegaan yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Sesi bersama Dr. Healing bukan sekadar membuka matanya terhadap proses penyembuhan tetapi juga mengajarnya bahawa tidak salah untuk mengakui kelemahan dan tidak semestinya setiap masa perlu berpura-pura kuat.

“Saya selalu tunjuk sisi kuat di luar, sebab tak nak orang tahu saya pernah luka. Tapi sampai bila? Saya pun manusia,” katanya yang kini lebih terbuka dengan proses mengenal dan memahami diri.

Dengan semangat baharu, AGY kini melihat kehidupannya dari perspektif yang lebih tenang dan matang. Dia masih aktif dalam dunia seni dan sudah pun merancang beberapa projek baharu sepanjang tahun ini, termasuk pelancaran single terbarunya yang berjudul Jadi Aku.

Lagu tersebut, kata AGY, cukup dekat dengan jiwanya kerana menggambarkan proses dia menerima diri sendiri dan berdamai dengan siapa dirinya yang sebenar.

Jadi Aku bukan sekadar lagu, ia cermin perasaan saya yang sebenar. Lirik dia tentang keinginan untuk difahami, tentang luka, tentang kekuatan yang lahir dari keikhlasan. Saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa sesuatu,” katanya.

Di akhir temu bual, AGY berharap, dengan langkah baharu yang diambil ini, orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap perjalanan seninya.

“Saya tak minta semua orang suka saya. Tapi kalau ada yang sudi terus sokong, saya hargai sangat. Saya akan terus belajar jadi lebih baik, bukan saja dalam kerjaya, tapi juga sebagai individu,” katanya penuh harapan. – KopiPlanet.com

The post Tak Tahan Pendam Lagi, AGY Akhirnya Bongkar Kisah Lama & Trauma Sejak Kecil appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.