Ads Top

Ismail Izzani Zahirkan Perasaan Cinta Yang Mendalam & Jujur Menerusi Single Baharu Tenggelam

Penyanyi dan penulis lirik muda berbakat, Ismail Izzani, kembali menghiasi persada muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul Tenggelam, sebuah karya yang menzahirkan perasaan cinta yang mendalam dan jujur, disampaikan melalui gubahan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik yang dekat dengan hati. 

Liriknya ditulis oleh Ismail Izzani sendiri bersama Brendan Lim Seng Meng, dengan komposisi oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta disusun dan diterbitkan oleh pasukan produksi ternama MFMF.

Ismail berkata, Tenggelam menampilkan sisi kematangannya dalam menyampaikan kisah cinta secara metafora tanpa kehilangan jiwa pop moden yang menjadi kekuatan utama dalam karya-karyanya sebelum ini.

“Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. Tenggelam adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam, tentang bagaimana perasaan itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita.

“Sebaik sahaja saya dengar beat itu, ‘hook’ terus datang. Prosesnya sangat organik dan saya bersyukur kerana banyak bahagian lirik datang daripada saya sendiri,”

Menurutnya, penciptaan lagu ini berlaku secara sangat semula jadi dalam sesi pertamanya di studio MFMF. katanya. 

Ujar Ismail, pengalaman bekerjasama dengan MFMF bukan sahaja memperkayakan kreativitinya, malah memberikan ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Ismail mengakui persekitaran studio yang selesa amat penting dalam membolehkan seorang artis menzahirkan ekspresi kreatif secara jujur.

Muzik video rasmi Tenggelam menampilkan pendekatan berbeza, tanpa jalan cerita yang konvensional, sebaliknya memberi fokus kepada mood dan emosi. Muzik Video Tenggelam juga mempunyai getaran yang sangat Y2K. 

“Kami memulakan penggambaran seawal 4 pagi. Tapi saya suka sebab bila mula awal, ada ruang untuk improvise. Banyak ilham spontan muncul ketika berada di set. MV ini bukan tentang naratif, tetapi tentang vibe, perasaan yang ingin disampaikan menerusi visual dan ekspresi,” katanya. 

Antara detik yang paling bermakna bagi Ismail dalam penghasilan lagu ini adalah peluang untuk dirinya dapat kembali bekerjasama dengan individu yang pernah bersamanya sejak hari pertama, Ghazi Maslan dan Lily. 

Mengenai harapan terhadap lagu ini, Ismail kekal bersederhana namun tulus dalam impiannya. 

“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang boleh memberi kesan kepada mereka.

“Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih banyak karya yang saya ingin hasilkan selepas ini,” katanya.

Tenggelam kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube Ismail Izzani sejak 19 June lalu. – KopiPlanet.com

The post Ismail Izzani Zahirkan Perasaan Cinta Yang Mendalam & Jujur Menerusi Single Baharu Tenggelam appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.