
Pengarah Bakal Disaman RM1 Juta, Penerbit Dakwa Kenyataan Tak Bayar Gaji Kru & Filem Disekat Adalah Fitnah
Penerbit Filem Misteri Fraser 1910, Millionaire Films Production Sdn. Bhd melalui Tetuan Ras & Co menuntut permohonan maaf daripada Shuhaimi Zulkefli yang juga pengarah filem berkenaan berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan.
Dalam satu kenyataan, penerbitnya iaitu Kapten Bers. (PA) Amai Kamarudin dan Elani Aidid memaklumkan ia berhubung dengan fitnah di media sosial yang mengaitkan syarikat berkenaan tidak membayar gaji kru sehingga filem tersebut disekat daripada tayangan.
“Kami mahu Shuhaimi menarik balik secara terbuka dan membuat permohonan maaf bertulis dalam bentuk yang diluluskan oleh kami, yang hendaklah disiarkan di platform media sosial yang sama memadam hantaran asal dan mana-mana hantaran berkaitan, termasuk sebarang komen tambahan atau balasan komen yang merujuk kepada kami,
“Selain itu, kami mahu Shuhaimi memberikan akuan bertulis untuk tidak akan mengulangi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah serta membayar ganti rugi dan kos guaman yang telah ditanggung,” ujarnya.
Difahamkan, pada atau sekitar 23 Mac 2025, Shuhaimi telah berkongsi satu pautan artikel yang bertajuk ‘Produksi culas bayar gaji kru dan pelakon, filem disekat tayangan’ yang disebarkan melalui akaun media sosial miliknya.
Kemudian pada bahagian ruangan komen pautan artikel berkenaan, seorang individu bernama Amir Muhammad telah bertanya ‘alamak, filem fraser tu?’ dan Shuhaimi telah menjawab ‘Amir Muhammad ye bang’.
Sehubungan itu, pihak penerbit menegaskan sekiranya Shuhaimi gagal untuk memberikan sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tempoh surat tuntutan dihantar, mereka berhak memulakan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut.
“Kos gantirugi minima yang akan kami mohon di Mahkamah Tinggi adalah RM1 Juta, mengambil kira kos pembikinan filem kami, pasca produksi, pengedaran dan pemasaran yang terjejas setelah fitnah Shuhaimi diterbitkan.
“Untuk makluman semua melalui surat rasmi dari Skim Wajib Tayang Finas, filem kami bergenre sejarah fiksyen “Misteri Fraser 1910” yang diinspirasikan dari Kisah Benar peneroka Fraser Hill yang hilang telah mendapat tarikh tayangan di pawagam pada 26 Jun 2025,” ujarnya.
Oleh itu, kenyataan yang dibuat Shuhaimi iaitu filem mereka itu disekat tayangan kerana produksi culas bayar gaji kru dan pelakon adalah fitnah semata-mata.
“Tuntutan ini dibuat bukanlah kerana ingin mengejar pampasan berbentuk wang tetapi lebih kepada membersihkan nama baik produksi yang tercalar sejak fitnah ini dibuat. Kami menganggap hanya dengan prinsip Undang-undang saja dapat mengembalikan maruah kami yang hilang”.
Difahamkan ini adalah filem pertama yang Shuhaimi arah melalui pemilihan produksi yang mendapat Dana Kandungan Kreatif (FAME) First Time Amateur Filmmaker yang dibiayai oleh FINAS pada Oktober 2023 dan telah tutup projek pada Februari 2025. – KopiPlanet.com
The post Pengarah Bakal Disaman RM1 Juta, Penerbit Dakwa Kenyataan Tak Bayar Gaji Kru & Filem Disekat Adalah Fitnah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: