Isu Ellie Suriaty & Imran Bard Contoh Buli Siber, CEO Finas Mahu Ia Dijadikan Pengajaran
Sebagai pembuat dasar industri, isu membabitkan pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, 54, dan pempengaruh, Imran Bard, 24, adalah satu contoh buli siber.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berharap isu membabitkan Ellie dan Imran dapat diselesaikan dengan baik serta menjadi contoh kepada semua.
“Tanpa disedari, kita boleh menjadi penyumbang kepada buli siber jika tidak berhati-hati membuat sesuatu komen atau reaksi dalam media sosial.
“Pengguna media sosial perlu peka dan tahu had sebelum membuat sesuatu perkara. Janganlah sehingga perkara buruk berlaku baru kita ambil tindakan.
“Kita jangan lupa agama dan budaya kita menekankan pentingnya adab dan kesusilaan berkomunikasi termasuk menyediakan atau menghasilkan konten di alam maya dan platform media sosial. Jadikan isu ini sebagai pengajaran buat semua,” katanya.
Katanya, Kementerian Komunikasi juga kini sedang giat membuat kempen mengenai bahaya dan keburukannya kepada masyarakat.

“Ellie ada menghubunginya dan turut meluahkan perasaan sedih dan terkilan mengenai isu pertikaiannya dengan pempengaruh berkenaan.
“Saya berharap mereka dapat berjumpa dan bersemuka untuk selesaikan isu ini dengan baik. Saya pasti, bila ia dapat diselesaikan dengan baik, ini akan menjadi satu contoh yang baik kepada semua,” katanya.
Azmir berkata, isu itu tiada kaitan dengan perundangan Finas, tetapi membabitkan artis yang dikenali ramai dan banyak pengiktirafan serta jasanya kepada industri seperti menjadi tenaga pengajar dan mentor.
“Sebagai contoh, semasa penggambaran filem Memoir Seorang Guru tahun lalu, Ellie bukan sahaja berlakon dalam filem, tetapi pada masa sama, dia juga banyak membimbing pelakon kanak-kanak dalam filem untuk memberikan lakonan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Ellie Suriaty menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh Imran Bard yang mencalar namanya menerusi dua hantaran di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar amat kecewa apabila tindakan Imran itu memperlekeh reputasi dibina lebih tiga dekad sebagai anak seni dan dimusnahkan begitu saja dengan kandungan dibuat Imran.
Terbaharu, Ellie bakal mengadakan pertemuan sebaik sahaja Imran pulang ke Kuala Lumpur, memandangkan dia kini masih berada di kampung halamannya di Kluang, Johor.
“Saya setuju dengan permintaan Imran untuk berjumpa, namun sekarang masih berada di kampung. Insya-Allah perjumpaan kami akan diadakan sekembalinya ke Kuala Lumpur,” tulisnya dalam Instagram.
Namun begitu, Ellie menegaskan bahawa pertemuan itu bukan jaminan bahawa dia akan menarik balik saman terhadap Imran.
Sebaliknya, pelakon filem Telaga Suriram itu menjelaskan bahawa ia bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf daripada pempengaruh berkenaan. – KopiPlanet.com
The post Isu Ellie Suriaty & Imran Bard Contoh Buli Siber, CEO Finas Mahu Ia Dijadikan Pengajaran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: