Bisikan Dosa Bukan Sekadar Naskhah Seram Semata-Mata, Penuh Kejutan & Plot Twist
Filem Bisikan Dosa yang diterbitkan syarikat produksi Yusrych Global dilihat bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata.
Apa yang menariknya, filem arahan Faizul A. Rashid itu ternyata penuh dengan kajutan serta plot twist dalam jalan cerita yang dipaparkan.
Faizul berkata, Bisikan Dosa adalah peluang untuk dia dapat mengembangkan naratif filem seram ke arah yang lebih mendalam dan bermakna.
“Filem ini bukan hanya mahu menakutkan penonton dengan jumpscare semata-mata, tetapi ia mahu menyelami psikologi watak dan membangkitkan rasa simpati, marah, dan takut secara serentak.
“Saya percaya penonton yang akan menonton filem ini nanti di pawagam akan mendapat kepuasan dengan elemen kejutan dan plot twist yang tidak disangka hingga ia perlu ditonton sehingga habis,” ujarnya.
Faizul berkata demikian sewaktu sesi sidang media selepas majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang berlangsung baru-baru ini.
Bisikan Dosa berkisar tentang seorang wanita, Sarimah yang berdepan tragedi dan akhirnya dihantui oleh roh yang berkait rapat dengan majikan barunya, Ayden.
Filem berkenaan dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Sara Ali, Uqasha Senrose, Farid Kamil. Che Puan Juliana Evans, Syazuwan Hassan dan Sherie Merlis.
Dalam pada itu, Faizul memberitahu, untuk memberikan impak mendalam kepada penonton, setiap pelakon telah diberikan ruang persediaan yang rapi.
Jelasnya, Faizul para pelakon diberikan skrip beberapa bulan lebih awal untuk benar-benar memahami karakter masing-masing serta menyertai kelas lakonan yang diaturkan bagi memastikan setiap emosi dan interaksi antara pelakon disampaikan dengan penuh kesan.
“Kalau kita lihat lakonan Sara Ali sebagai Sarimah benar-benar menyentuh jiwa, manakala Farid Kamil membawa aura misteri sebagai Ayden. Begitu juga dengan lain-lain pelakon yang berjaya memberi persembahan luar biasa yang akan dikenang penonton,” jelasnya.
Filem Bisikan Dosa akan mula ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh negara mulai esok (9 Januari 2025). – KopiPlanet.com
The post Bisikan Dosa Bukan Sekadar Naskhah Seram Semata-Mata, Penuh Kejutan & Plot Twist appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: