Persengketaan Tujuh Tahun Berakhir, Ifa Raziah & Roslan Shah Akhirnya Berdamai
Penyanyi dan usahawan Ifa Raziah serta pengacara asal Singapura iaitu Roslan Shah sepakat memilih jalan damai berhubung isu persengketaan mereka yang sudah berlarutan hampir tujuh tahun lamanya.
Bersaksikan tetamu yang hadir pada sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindah di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur, Ifa dan Roslan kembali menjernihkan hubungan persahabatan mereka dengan melupakan kisah lalu.
Meskipun sudah berbaik pada sebuah festival di Singapura baru-baru ini, menurut Ifa, dia dan Roslan memilih untuk membuat sidang media di Malaysia bagi menjelaskan situasi salah faham mereka buat peminat-peminat di sini yang masih tertanya-tanya.
“Perselisihan faham saya dan Roslan bermula di Malaysia pada awal Januari 2018, hampir tujuh tahun isu kami ini berlarutan.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana telah meleraikan Ego Roslan dan saya dan hasilnya silaturahim kembali utuh InsyaAllah.
“Sebelum ini, di Singapura kebanyakan peminat di sana sudah jelas dengan situasi kami, jadi untuk peminat di Malaysia, saya dan Roslan sepakat untuk lakukan sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar di antara kami berdua.
“Semoga dengan penjelasan ini membuatkan kedua-dua peminat kami di Malaysia dan Singapura mampu tersenyum kembali melihat gelagat kami yang sentiasa tidak putus-putus usik-mengusik bagi menghiburkan peminat-peminat kami walaupun di mana mereka berada.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa tidak putus-putus mendoakan agar kami berdua kembali berbaik,” katanya.
Bercerita lanjut, Ifa memberitahu dia bersyukur sudah kembali berbaik dengan Roslan dan Ifa percaya Roslan pun begitu juga memandangkan mereka sudah lalui pelbagai kisah pahit manis bersama dalam cabaran bergelar anak seni dan usahawan yang berjaya.
Malah hubungan persahabatan yang sudah lama dibina mereka juga sudah dianggap seperti sebuah keluarga.
“Saya rasa bersyukur sangat dapat kembali berbaik dengan Roslan selepas sekian lama. Banyak kisah susah senang kami lalui bersama untuk kecapi kejayaan pada hari ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Persengketaan Tujuh Tahun Berakhir, Ifa Raziah & Roslan Shah Akhirnya Berdamai appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: