Ads Top

Filem Seram Taiwan, Gala Inspirasi Kisah Benar Kejadian Pelajar Kena Rasuk Beramai-Ramai

Sebuah filem seram dari negara Taiwan berjudul Gala terhasil berdasarkan skrip oleh novelis terkenal Jiang, Tai-Yu dan diarahkan oleh Zeng Da-Heng (“The Thrifty Family”), dan diterbitkan oleh Steven Liu dan Ciou, Mao-Ting, yang sebelum ini pernah menghasilkan sebuah karya berjudul “Minxiong Haunted House”. 

Filem ini mengandungi elemen yang menyeramkan seperti pemujaan, kerasukan, dan ritual yang digabungkan dengan trend masa kini iaitu penstriman langsung (live- streaming) dan pengembaraan. Dengan menampilkan visual yang agak menakutkan dapat mencipta pengalaman seram dan memberi impak kepada penonton.

Ia terbukti apabila sewaktu tayangan filem ini di Taiwan, terdapat beberapa laporan bahawa penonton muntah di pawagam kerana visualnya yang terlampau.

Penerbit Steven Liu mendedahkan bahawa jalan cerita eksplorasi sebuah resort dalam filem ini secara kebetulan menggambarkan insiden supernatural sebenar yang pernah berlaku di Kenting, Taiwan, di mana dikatakan berlakunya kerasukan beramai-ramai di kalangan pelajar yang dalam percutian.

Filem “GALA” ini menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada Mavis, Chu Xu, Li En-you, dan Hsu Hao-Hsiang. Mavis merupakan bekas ahli kumpulan pop “Hey Girl”, kini menjadi e-commerce live streamer yang berjaya mencatatkan jualan tahunan sebanyak (New Taiwan Dollar) NT$1.2 bilion sehingga memperoleh gelaran “Ratu E-Dagang.”

Filem ini merupakan filem pertama Mavis, di mana beliau memainkan watak sebagai penstriman langsung yang mengalami kerasukan syaitan. Mavis turut berkongsi antara pengalaman yang menarik dalam menjayakan watak dalam filem ini adalah transformasi solekan kesan khas yang sangat realistik sehingga dia sendiri merasa takut melihat dirinya.

Beliau akui selain berasa seram dengan menonton filem ini, antara bahagian lain yang turut memberi kesan baginya sepanjang persiapan filem ini adalah semasa merakam audio suara di studio tertutup.

Pelakon lelaki utama iaitu Chu Xu, yang juga seorang juru solekan kesan khas, sebelum ini telah tercalon dalam Anugerah Golden Horse untuk Reka Bentuk Kostum Terbaik bagi filem “Incantation” dan memenangi Anugerah Golden Bell untuk Reka Bentuk Seni Terbaik bagi filem “Wake Up 2”. 

Dalam filem “GALA” ini , Chu Xu memainkan watak penstriman langsung yang taksub mengejar populariti dan pengikut dengan apa cara sekalipun. Chu mendedahkan bahawa sebelum penggambaran, dia berlatih wataknya dengan bercakap sendirian sehingga menyebabkan pembantunya berfikir dia telah dirasuk.

“Saya hanya berlatih dialog saya, tetapi pandangan kosong saya mungkin kelihatan menakutkan, sehingga pembantu saya berdoa dan mendapatkan saya azimat,” katanya.

Menurut pengarah, pelakon wanita utama filem “GALA” ini mengambil masa selama empat jam untuk solekan kesan khas bagi menjayakan wataknya. Zeng Da-heng turut berkongsi bahawa salah satu elemen seram yang menonjol dalam filem ini adalah penggambaran ketika menjaya watak dirasuk oleh pelakon utama Mavis yang dilihat sangat menjiwai watak tersebut.

Semasa tayangan perdana di Taiwan baru-baru ini, kedua-duanya menunjukkan kehebatan mereka membawakan beberapa watak dirasuk yang berbeza atas permintaan pengarah dan Mavis berjaya melakukannya dengan sempurna.

Pengarah memujinya dan berkata, “Watak kerasukan ini sangat sempurna, dia benar- benar Ratu Kerasukan!” Penghasilan sesebuah adegan rasuk yang ekstrem memerlukan proses yang renyah dan mengambil masa.

Mavis turut menjelaskan, “Dalam adegan itu, wajah saya benar-benar cacat, dicat dengan lebih dari 20 gigi busuk yang menutupi seluruh wajah saya, ia bagi mendapatkan hasil trypophobia yang menakutkan untuk penonton.”

Menurut pelakon Chu Xu, “Solekan gigi ngeri Mavis sangat mencabar tetapi berjaya dihasilkan dengan cemerlang. Selepas solekan selesai, pengarah sangat terkejut sehingga dia fikir hantu sebenar telah muncul di set—ia menakutkan semua orang!”

Filem Gala menonjolkan rasa seram melalui imej dan bunyi geseran gigi. Ia menampilkan visual yang menakutkan seperti mulut dan wajah yang terkoyak selepas kerasukan, dan seluruh wajah yang ditutupi gigi, disertai dengan bunyi pengisaran gigi yang menakutkan dan berterusan.

Gala ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 28 November ini dan menjanjikan satu cabaran dan pengalaman yang menarik buat penonton. – KopiPlanet.com

The post Filem Seram Taiwan, Gala Inspirasi Kisah Benar Kejadian Pelajar Kena Rasuk Beramai-Ramai appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.