Ads Top

Raih 19 Anugerah Antarabangsa, Filem Abang Adik Wakili Malaysia Ke Anugerah Akademi Ke-97

Filem Abang Adik terus mengukir nama dengan kejayaan di beberapa negara Asia, di samping menerima pengiktirafan apabila secara rasminya dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi ke-97 pada Mac 2025.

Pemilihan Abang Adik ke Anugerah Akademi ke-97 merupakan hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS yang terdiri daripada barisan profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat-syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Anugerah Akademi.

Filem terbitan More Entertainments San. Bhd. arahan sulung pengarah Jin Ong ini menampilkan lakonan hebat Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan.

Karya ini telah merangkul 19 anugerah antarabangsa – satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

Antara pencapaian tertinggi “Abang Adik” ialah anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25, Udine, Itali.

Tidak ketinggalan, pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China. Di peringkat tempatan, filem ini telah mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

“Abang Adik” turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September 2024, selepas mula ditayangkan bermula 21
September 2024.

Filem ini mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak
RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi.

Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan yang memberangsangkan daripada penonton tempatan. – Kopiplanet.com

The post Raih 19 Anugerah Antarabangsa, Filem Abang Adik Wakili Malaysia Ke Anugerah Akademi Ke-97 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.