Ads Top

Armani Entertainment Fail Saman Terhadap Michael Ang, Tuntut Bayaran Semula RM500,000 Setelah Langgar Kontrak

Penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang dituntut membayar semula RM500,000 kepada Armani Entertainment Sdn Bhd selepas didakwa gagal menunaikan perjanjian yang dimeterai tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Armani Entertainment, Datuk KK Chua berkata, antara perjanjian yang dilanggar menerusi dua kontrak yang ditandatangani ialah jaminan Michael memasukkan artis di bawah syarikat itu dalam dua program realiti televisyen popular.

“Kami sudah membayar RM250,000 tunai, manakala RM250,000 lagi adalah kos renovasi rumahnya di Desa Park, Kuala Lumpur yang dibayar menerusi program Fix It Til You Make It.

“Bagaimanapun, Michael hanya melaksanakan tiga tugas yang terkandung dalam kontrak iaitu memasukkan sebuah runut bunyi, memberi watak pelakon pembantu dan menjadi juri di enam lokasi untuk sebuah program televisyen,” jelasnya.

KK Chua berkata, antara lain juga menerusi kontrak tersebut artis di bawah pengurusan Armani dijadikan pelakon utama dan pelakon pembantu dalam drama terbitan syarikat sutradara itu.

Ujarnya, perjanjian sudah ditandatangani pada 1 Oktober 2021 tetapi sehingga kini, Michael tidak memenuhi keseluruhan tanggungjawab yang dijanjikannya.

Dalam pada itu, KK Chua memberitahu pihaknya sudah menghubungi Michael selepas kontrak pertama gagal dipenuhi dan lelaki berusia 48 tahun itu menandatangani perjanjian kedua pada 2 September 2022.

“Disebabkan dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam kontrak pertama, kami minta dia pulangkan semula wang, namun Michael enggan berbuat demikian.

“Selepas memberi peluang kedua, pengarah tersebut masih gagal melaksanakan tanggungjawab yang dijanjikan seperti termaktub dalam kontrak,” ujarnya.

Menurutnya, setelah mengambil kira pelbagai faktor, pihaknya mengambil keputusan untuk memfailkan saman kepada Michael.

“Saya berharap pengalaman malang yang menimpa pihak Armani Entertainment boleh dijadikan peringatan untuk orang di luar sana supaya lebih berhati-hati,” ujarnya.

Sementara itu, pada sidang media berkenaan, peguam KK Chua, Lim Zi Hwei memberitahu sebutan kes pertama akan diadakan pada 5 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KopiPlanet.com

The post Armani Entertainment Fail Saman Terhadap Michael Ang, Tuntut Bayaran Semula RM500,000 Setelah Langgar Kontrak appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.