Ads Top

Pelajar Pascasiswazah UKM Anjur Sesi Apresiasi Filem: Pagari Bulan Filem Kita, Budaya Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif

Pelajar Pascasiswazah Seminar Komunikasi Antarabudaya, Pusat Kajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Sesi Apresiasi Filem : Pagari Bulan Filem Kita, Budaya Kita : Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif).

Acara itu disertai lebih 300 orang yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pihak penggiat perfileman, ahli akademik dan siswazah bertempat di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan di UKM, Bangi Selangor.

Syarikat produksi, Eleven Field Creative berkata, sesi apresiasi itu menandakan satu komitmen dan usaha berterusan penerbitan filem Pagari Bulan.

“Sesi ini mempunyai objektif utama bagi menggalakkan apresiasi filem kenegaraan dan antarabudaya dalam kalangan pelajar, memahami kepelbagaian dan keunikan budaya serta adat resam bangsa melalui tayangan filem kenegaraan.

“Selain itu, ia mengukuhkan lagi jaringan antara universiti dan industri serta memberi peluang untuk pelajar berinteraksi dalam forum ilmiah perbincangan tentang filem patriotisme dan kenegaraan,” ujarnya.

Filem berkenaan adalah sebuah terbitan bergenrekan Drama Sejarah dalam konteks sejarah kenegaraan Malaysia sekitar perang dunia kedua pada tahun 1941-1945 yang bertemakan ‘Pemerkasaan Wanita’ arahan Ts. Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dengan idea asal nya sendiri bersama Ellyna Ahmad dan skrip ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim. 

‘Pagari Bulan’ di terajui oleh Nazeera Sardi sebagai ‘Bulan’ serta beberapa orang pelakon lain seperti Aniq Durar, Trisya Ooi, Chelsia Ng, Andy Teh, Alvin Wong, dan Michael Ang.

Filem yang telah mendapat suntikan dana sebanyak RM2.5 juta dibawah Dana Kenegaraan FINAS ini telah ditayangkan serentak di 70 buah panggung di bawah Skim Wajib Tayang pada 5 Oktober 2023 termasuk Brunei dan tayangan di Singapura pada 12 Oktober 2023.

Kini ia sedang dalam penjelajahan ke siri-siri festival antarabangsa untuk tahun 2024. Filem ini telahpun memenangi anugerah filem terbaik di Festival Filem Asia anjuran Freeway International Film Circuit pada December 2023. 

Filem itu juga kini berada di bawah perjanjian edaran bersama syarikat Skop Film Production dan dalam proses perancangan dan rundingan bagi pemasaran di peringkat antarabangsa.

Dekan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub berkata, dengan mengetengahkan konsep sejarah di dalam filem ianya dapat mengingatkan kita kepada pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu diperjuangkan oleh datuk nenek kita sebelum kemerdekaan dikecapi. 

“Sesi apresiasi yang dibarisi oleh panel profesional dapat meneruskan pendekatan secara ilmiah dalam kalangan ahli akademik dan industri,” jelasnya.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata, setiap hasil seni yang dilahirkan merupakan penyumbang kepada industri kreatif tanah air.

“Filem adalah sebahagian daripada hasil seni yang perlu dihargai dan dihayati intipatinya. Perjalanan menghasilkan sesuatu filem bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi filem yang berlatar belakang sejarah atau masa silam. 

“Isu pemerkasaan wanita masih relevan dalam era teknologi yang semakin pesat membangun dan komunikasi tanpa sempadan sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Turut hadir dalam sesi apresiasi tersebut ialah Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib serta panelis, Dato’ Hj Afdlin Shauki Aksan, Vanidah Imran, Thaaqhib Mohammed dan Dr. Hasrul Hashim. – KopiPlanet.com

The post Pelajar Pascasiswazah UKM Anjur Sesi Apresiasi Filem: Pagari Bulan Filem Kita, Budaya Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.