Ads Top

Memoir Seorang Guru Dapat Maklum Balas Positif, Penonton Diminta Sediakan Tisu Sebelum Tonton

Setelah empat hari ditayangkan di pawagam bermula pada Khamis lalu, filem Memoir Seorang Guru mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, setakat ni rata-rata mereka yang menonton memberikan maklum balas yang positif.

“Saya bersyukur kerana filem yang diadaptasi dari novel karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah ini mendapat tempat di hati penonton Malaysia.

“Kalau melihat kepada komen-komen penonton di media sosial, ramai yang memuji dan memberikan rating yang tinggi untuk filem ini,” ujarnya.

Filem arahan Kyoll Hamzah mengisahkan tentang Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas di kelas paling corot.

Ia membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor yang membawakan watak Cikgu Sunan serta Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.

Sementara itu, Arisz berkata, meskipun terpaksa bersaingan dengan beberapa filem lain, namun Memoir Seorang Guru tetap menjadi pilihan penonton.

Oleh yang demikian, beliau menyeru agar mereka yang masih belum menonton terus menyerbu pawagam berdekatan beramai-ramai.

Jelasnya, rakyat Malaysia seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menonton Memoir Seorang Guru kerana ia sebuah naskhah sangat dekat jiwa dan menyentuh perasaan.

“Kita semua pernah menjadi anak murid, jadi filem ini memang sangat dekat dengan diri kita. Saya percaya, filem ini dapat mengimbau semula ketika zaman persekolahan dulu.

“Pesanan saya jangan lupa sediakan tisu sebelum menonton kerana ada babak-babak yang menyentuh hati dan perasaan sehingga mengalirkan air mata,” ujarnya.

Pada masa sama, Arisz merayu penonton untuk ke pawagam bagi menunjukkan sikap patriotik pada karya tempatan yang berkualiti di saat filem ini bersaing dengan filem besar dari luar negara. 

“Jika kita boleh tengok filem Thailand dan Indonesia kenapa kita tak boleh sokong filem Malaysia yang mendapat review positif dari penonton ” ujarnya yang kini berada di tanah suci bagi menunaikan fardhu haji.

Sudah mula ditayangkan di pawagam pada 30 Mei lalu, filem Memoir Seorang Guru telah meraih kutipan sebanyak RM350,000 dalam tempoh tiga hari tayangan.

The post Memoir Seorang Guru Dapat Maklum Balas Positif, Penonton Diminta Sediakan Tisu Sebelum Tonton appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.