Ads Top

Babitkan Banyak Babak Ritual, Produksi Filem Paku Tanah Jawa Berhadapan Kejadian Mistik

Gunung Tidar yang terletak di bahagian selatan Kota Magelang, Jawa Tengah secara umumnya cukup terkenal dengan ‘paku’ Tanah Jawa.

Biarpun ketinggiannya sekadar 503 meter dan tidak setinggi gunung-gunung lain di kepulauan Jawa, namun ia mempunyai keunikan tersendiri serta beberapa kisah misteri.

Oleh yang demikian, ia telah memberi ilham kepada syarikat dari Malaysia, Armani Entertainment Group untuk menghasilkan sebuah filem yang diberi nama Paku Tanah Jawa.

Penerbit Eksekutif, Datuk KK Chua berkata, idea untuk menerbitkan filem tersebut timbul setelah mengetahui kisah-kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.

“Saya tertarik dengan kisah urban legend yang diceritakan sehingga ia memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram.

“Apa yang menariknya, ia bukan sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan,” ujarnya.

Paku Tanah Jawa diangkat daripada salah satu kisah mengenai seorang gadis yang dipandang serong masyarakat setempat.

Ia berpunca daripada ibu gadis tersebut yang dikatakan telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual sebuah ajaran sesat yang dianutinya.

Filem arahan Bambang Drias itu itu dibintangi barisan pelakon popular seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, Landung Simatupang, Wafda Saifan Lubis, Ismi Melinda serta dua artis Malaysia iaitu MK K-Clique dan Hasif Upin.

Dalam pada itu, KK Chua memberitahu filem tersebut juga cukup istimewa apabila membabitkan gandingan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“Filem ini adalah terbitan sebuah syarikat dari Malaysia, manakala pengarahnya pula adalah dari Indonesia.

“Jadi, untuk barisan pelakon pula, kami telah memilih pelakon kedua-dua negara yang cukup popular dan ia adalah antara tarikan dalam filem ini,” jelasnya.

Sementara itu, Bambang selaku pengarah berkata, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan setelah perbincangan dibuat bersama-sama penerbit.

Ujarnya, menerusi beberapa pertemuan, mereka saling berkongsi idea masing-masing dan akhirnya dia bersetuju menjadi pengarah filem Paku Tanah Jawa.

“Pertama sekali sudah tentunya persetujuan diberikan setelah tertarik dengan konsep dan jalan cerita filem ini.

“Namun, faktor lain yang membuatkan saya bersetuju kerana melihat sikap profesional penerbit sendiri yang cukup kreatif dan merasakan ia satu kolaborasi yang cukup mantap,” ujarnya.

Mengenai proses pembikinannya pula, Bambang menjelaskan penggambaran bermula pada Mei 2023 dan berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di Kota Jogjakarta.

“Kalau ditanya tentang gangguan pula, sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Namun, penggambaran tetap berjalan seperti biasa.

“Lagipun, ada babak-babak ritual yang dilakonkan, tambahan pula kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan,” jelasnya.

Pada masa sama, Bambang juga cukup optimis filem Paku Tanah Jawa akan mendapat sambutan baik penonton di Malaysia.

Ujarnya, di Indonesia, tayangang filem Paku Tanah Jawa sudah mencecah 430,000 penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan box office.

“Selain genre seram antara yang menjadi kegemaran penonton, saya percaya penonton akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” ujarnya.

Filem Paku Tanah Jawa akan mula menemui penonton apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 27 JUN 2024. – KopiPlanet.com

SINOPSIS

PAKU TANAH JAWA mengisahkan tentang seorang gadis, Ningrum yang selalu dipandang negatif oleh masyarakat di kampungnya. Semuanya berpunca daripada ibunya sendiri iaitu Handini, seorang penyanyi dan primadona kampung yang dikatakan melakukan amalan ritual sehingga mengorbankan ramai lelaki. Korban berkenaan dilakukan Handini sebagai syarat utama yang ditetapkan oleh ketua ajaran sesat, Kanjeng Semanu untuk dia terus kelihatan cantik dan digilai ramai. Bagaimanapun, kehidupan Ningrun mula tidak tenteram apabila jejaka yang dicintainya dalam diam, Jalu bakal menjadi korban terbaharu ibunya itu.

The post Babitkan Banyak Babak Ritual, Produksi Filem Paku Tanah Jawa Berhadapan Kejadian Mistik appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.