Ads Top

Bermula Suka-Suka Di TikTok Sehingga Viral, Hazrat Muaz Tak Sangka Kini Banyak Terima Tawaran Berlakon

Siapa sangka daripada memuat naik video secara suka-suka di aplikasi TikTok akhirnya memberi rezeki berganda buat pelakon baharu, Hazrat Muaz apabila menerima tawaran berlakon membintangi beberapa buah drama dan mengacara program travelog baru-baru ini.

“Sebenarnya saya buat video tersebut secara suka-suka sahaja. Tak sangka pula video berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pengguna sehingga mendapat jumlah tontonan yang tinggi disertakan komen peminat.

“Bila video berkenaan ‘blow up’, ada beberapa tawaran berlakon datang. Saya pula memang meminati bidang ini sejak dahulu dan rasanya ini peluang terbaik untuk saya menceburi bidang seni seperti mana yang diimpikan sejak dahulu,” kata Hazrat bercerita.

Meskipun masih baharu, lelaki yang berusia 29 tahun ini teruja apabila dilamar untuk membintangi drama Panggil Aku Dahlia yang akan tamat penggambaran bulan ini.

Jelasnya, dia teruja membawakan watak King Shah selain dapat bergandingan dengan beberapa nama besar yang lain termasuklah Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zila Bakarin, Azah Aziz, Lisdawati dan Raja Azmi yang sememangnya merupakan pelakon hebat tanah air.

“Bukan mudah sebenarnya untuk orang baharu seperti saya menceburi bidang ini sementelah saya sendiri tiada pengalaman. Apa yang membanggakan tatkala mereka yang lebih senior memberikan banyak tunjuk ajar kepada saya untuk menghidupkan watak yang diberi.

“Memang saya menghormati sikap baik yang ditunjukkan mereka sepanjang penggambaran. Saya sendiri perlu membuang rasa malu dan kekok untuk memberikan hasil yang terbaik kepada produksi,” tambahnya lagi.

Pun begitu, Hazrat yang juga merupakan perunding takaful mengakui ada mengikuti kelas lakonan sebelum masuk ke set. Dia mendapatkan khidmat beberapa orang guru termasuklah Lan Siro & Jaja Ishak yang banyak membantunya menapak sebagai seorang pelakon baharu.

Dengan ilmu yang diberikan, dia mula membina kepercayaan pihak produksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd yang juga merupakan penerbit pertama yang mengesan bakatnya sehingga memberikan peranan pelakon pembantu utama dalam drama Panggil Aku Dahlia.

“Bukan mudah sebenarnya mahu membina kepercayaan orang kepada kita. Bila sudah dapat peluang, saya harus lakukan yang terbaik bagi membalas jasa mereka. Sebab itu saya suka berada di set penggambaran dan bercampur dengan pelakon senior.

“Mereka tidak pernah lokek dengan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama membantu orang baharu seperti saya untuk ke hadapan,” kata anak kelahiran Pahang ini lagi.

Meskipun baru menceburi bidang ini, Hazrat bersyukur kerana sudah dilamar untuk membintangi beberapa naskhah baru termasuklah telefilem Lafaz Yang Termakbul untuk RTM, Elhan Untuk Nian (Salam HD), Travelog Pahang First, Dokumentari Permata Tanjung Gahai dan beberapa naskhah lain.

Sebagai orang baharu dia banyak mencari peluang termasuklah menghadiri banyak uji bakat yang dijalankan oleh pihak produksi. Tambahnya, pengalaman tersebut amat berguna meskipun ada kalanya pulang hampa.

“Apabila menghadiri uji bakat, ada kala saya rasa begitu kerdil sekali. Pelakon yang lain datang membawa pengalaman sedangkan saya masih digelar orang baharu. Tapi itu membuatkan saya bersemangat untuk merebut peluang yang ada.

“Tapi melalui uji bakat ini juga saya mendapat beberapa tawaran. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Saya hanya berusaha selebihnya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa,” tambahnya lagi. – KopiPlanet.com

The post Bermula Suka-Suka Di TikTok Sehingga Viral, Hazrat Muaz Tak Sangka Kini Banyak Terima Tawaran Berlakon appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.