Ads Top

Naluri Seorang Ibu Buat Hati Tok Ti Sangat Sensitif Kenang Nasib Kanak-Kanak Di Gaza

Penyanyi popular tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Tok Ti menyifatkan naluri seorang ibu telah membuatkan dirinya sangat sensitif mengenangkan nasib kanak-kanak di Gaza, Palestin.

Tok Ti berkata, biarpun ada yang rasa kurang senang apabila dia meluahkan rasa sebak di media sosial dan dikatakan ingin meraih perhatian ramai, namun dia menyifatkan pihak sedemikian mungkin tidak mengerti perasaan sedemikian.

“Saya ada ‘keluarga’ dan ‘anak-anak’ yang belajar di Sekolah Aafiya/Afwa di Palestin. Setiap hari saya akan berhubung dengan wakil saya, Dr. Mohanad untuk bertanyakan keadaan di sana.

“Mungkin orang lain tak rasa perasaan itu, tetapi saya turut terkesan secara langsung apabila terlibat memberi bantuan di sana menerusi Yayasan Nurjiwa,” jelasnya.

Siti berkata sedemikian ketika ditemui media sewaktu Majlis Iftar & Penyampaian Sumbangan Nurjiwa Perihatin yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur

Baru-baru ini, penyanyi nombor satu itu meluahkan rasa sebak di media sosial kerana mengenangkan nasib mangsa perang di bumi Palestin.

Namun begitu, luahan itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak yang merasakan Tok Ti seolah-olah sengaja mahu mendapat perhatian tentang usahanya bersama Yayasan Nurjiwa.

Dalam pada itu, Tok Ti menyatakan inisiatif misi bantuan di Gaza menerusi yayasannya itu merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar.

“Saya terlalu bersyukur kerana dalam ramai-ramai orang, Allah beri peluang kepada Yayasan Nurjiwa. Allah seperti memilih saya dan suami.

“Orang lain mungkin nak buat tapi saya dapat berurusan secara terus bersama masyarakat Gaza itu sendiri. Tak sangka kami dapat agihkan bantuan kepada lebih 10,000 orang untuk bulan puasa,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Naluri Seorang Ibu Buat Hati Tok Ti Sangat Sensitif Kenang Nasib Kanak-Kanak Di Gaza appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.