Ads Top

Hadiahkan 1080 Anak Patung Bering Simbolik ‘Cinta’ Anuar Zain Buat Peminat Hadir Ke Konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal

Konsert penyanyi popular Anuar Zain iaitu AZ40 Exclusive Up Close & Personal yang berlangsung baru-baru ini pastinya memberikan momen indah buat peminat yang datang.

Hal yang demikian kerana setiap peminat telah dihadiahkan sebuah patung beruang setiap seorang yang semuanya berjumlah 1080 dengan pelbagai pilihan warna dan saiz.

Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain berkata, anak patung beruang itu memberi signifkasi paling bermakna buatnya dan simbolik cinta buat peminat yang menyokong kerjayanya.

“Saya mahu peminat yang hadir sebagai antara mereka yang penting dalam hidup saya. Anak patung beruang ini membawa simbolik tentang kasih sayang…bahannya yang lembut boleh membuatkan orang yang pegang dan peluk itu rasa sangat tenang.

“Anak patung ini boleh dijadikan sebagai salah satu bahan untuk melepaskan stress. Saya antara yang meminati anak patung beruang. Jadi apa salahnya, untuk saya hadiahkan kepada peminat sebagai tanda kenang-kenangan,

Anuar ditemui setelah berakhirnya konsert memilih untuk tidak berkongsi nilai perbelanjaan yang dikeluarkan bagi membeli tiga saiz anak patung beruang tersebut.

“Sebenarnya idea untuk hadiahkan anak patung beruang ini dicadangkan oleh pengurusan saya sendiri iaitu Anuar Zain Network.

“Kami sanggup mengeluarkan belanja demi nak menggembirakan 1,000 peminat yang datang memeriahkan konsert saya,” jelasnya yang turut memberikan anak patung beruang tersebut kepada semua kru produksi yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran konsertnya.

Mengulas lanjut mengenai lokasi konsert yang hanya boleh memuatkan 1,000 penonton, penyanyi itu bagaimanapun tidak kisah dengan jumlah tersebut.

Malah, dia menganggap konsert itu memberikan dirinya lebih ruang untuk berinteraksi dengan peminat secara lebih dekat.

“Saya tidak kisah konsert ini dihadiri 1,000 penonton dan tiket habis terjual. Konsert berskala kecil atau besar sekalipun, masing-masing ada kelebihan sendiri.

“Pada saya, konsert berskala kecil ini begini mengingatkan saya kepada Minggu Setiausaha yang sering saya jayakan.

“Saya dapat mendekati peminat dengan lebih dekat dan bergambar dengan mereka. Saya lebih suka dengan cara begitu, rasa lebih dihargai dan menghargai,” ungkapnya.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu menghimpunkan lebih 15 buah lagu hits Anuar sepanjang zaman selain selingan segmen ‘game show’ yang turut disertai peminat. 

Antaranya, Kaulah Satunya, Sesucinya Cintamu, medley Permata, Suria dan Siarra, Cinta Harus Memiliki dan Keabadian Cinta.

Selain itu, Saving All My Love, Hello, Emosi, Hujan, Ketulusan Hati, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Sedetik Lebih, Kau Bunga Cintaku dan Lelaki Ini.

Lebih istimewa lagi, Anuar turut dikejutkan dengan sebuah kek dua tingkat bersempena sambutan hari lahirnya yang jatuh pada 15 Februari lalu.

“Terima kasih untuk kejutan ini. Seumur hidup, saya tak pernah dapat kek sebesar ini,” kata Anuar ketika memotong kek tersebut di atas pentas.

Lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia nyanyian dan dengan lambakan pelapis baharu yang muncul mewarnai industri, jenama Anuar Zain masih ampuh bertahan sehingga kini.

Menurut Anuar lagi, dia tidak akan pernah berhenti untuk terus menghiburkan peminat kerana itu adalah bakat yang dipinjamkan kepadanya. – KopiPlanet.com

The post Hadiahkan 1080 Anak Patung Bering Simbolik ‘Cinta’ Anuar Zain Buat Peminat Hadir Ke Konsert AZ40 Exclusive Up Close & Personal appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.