Ads Top

Lah Ahmad, Tampil Single Baharu Alhumaira, Kolaborasi Sulung Bersama Hafiz Hamidun

Penyanyi terkemuka tanah air, Lah Ahmad bakal muncul dengan lagu terbaharu, Alhumaira. 

Bersempena itu, sebuah sesi pra-dengar dan pra-tonton video lirik rasmi bersama para media telah berlangsung di Damansara.

Lah Ahmad berkata, lagu yang berkonsepkan Balada R&B ini telah mendapat sentuhan sepenuhnya oleh Hafiz Hamidun. 

Kali ini Hafiz Hamidun mencuba sebuah komposisi yang berbeza di dalam lagu Alhumaira, seiring dengan vokal yang menyerlah dan penghayatan yang sempurna dari Lah Ahmad.

“Ini merupakan kali pertama saya berkolaborasi dengan Hafiz sebagai penerbit dan komposer untuk lagu saya. Walaupun kami merupakan rakan industri muzik dan beberapa kali membuat persembahan bersama, namun kerjasama kali ini sangat istimewa.

“Apabila Hafiz mengirimkan ‘demo’ Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan lagu ini sangat dekat dengan perasaan saya. Setelah berbincang melalui pihak pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini,” ujarnya.

Lah berkata, sesi rakaman telah berlangsung pada pertengahan bulan Oktober 2023, dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta yang berlangsung di Istana Budaya.

Sementara itu, Hafiz yang juga komposer lagu berkenaan berkata, Lah merupakan penyanyi yang paling sesuai untuk Alhumaira.

“Ilham untuk melodi Alhumaira datang secara tidak sengaja. Setelah demo asas lagu ini selesai, saya tidak fikirkan penyanyi lain untuk menyampaikannya kecuali Lah Ahmad. 

“Walaupun dengan kesibukan Lah Ahmad dengan persembahan dan lakonan, saya rasa tidak salah jika saya mencuba melamar beliau untuk menyanyikan lagu ini,” ujarnya.

Menurut Hafiz, pada awalnya, demo lagu tersebut tanpa lirik yang lengkap, kecuali perkataan ‘Alhumaira’ di bahagian chorus. 

Jelasnya lagi, setelah Lah bersetuju untuk menyanyikan lagu ini, dia terus mengarang lirik yang sesuai untuk ‘Alhumaira’. 

“Alhumaira itu bermakna putih kemerah-merahan, dan melambangkan cinta dan kecantikan. 

“Walaupun ia berasal dari perkataan Bahasa Arab, saya cuba mentafsirkan perkataan Alhumaira sebagai simbolik wanita yang disayangi, dicintai dan dikasihi,” ujarnya.

Lagu ini akan berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, TikTok, Instagram dan lain-lain sejak 24 November lalu.

Lirik video rasmi Alhumaira akan disiarkan di YouTube tepat jam 12 tengahari pada hari yang sama. 

Para peminat boleh melayari pautan https://ift.tt/XpBCRlT untuk strim dan muat turun Alhumaira dari Lah Ahmad.

Alhumaira diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn. Bhd. – KopiPlanet.com

The post Lah Ahmad, Tampil Single Baharu Alhumaira, Kolaborasi Sulung Bersama Hafiz Hamidun appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.