Ads Top

Lepas Popular Dengan Cover Song, Aziz Hedra Kini Muncul Dengan Single Pertama Somebody’s Pleasure

Penyanyi kacak Indonesia, Aziz Hedra ternyata selesa memilih cara menyanyikan lagu cover sehingga kewujudannya di sosial media mendapat perhatian dari label rakaman Sony Music Entertainment Indonesia. Kini, Aziz tampil dengan single pertama dalam Bahasa Inggeris berjudul Somebody’s Pleasure.

Menurut Aziz yang telah menulis lagu tersebut setahun lalu, pada mulanya, dia tidak merancang untuk melancarkan Somebody’s Pleasure di platform media sosial. Namun ketika memikirkan tentang kemunculan single sulung, jejaka kelahiran Jakarta itu membuat keputusan untuk menukar susunan asal lagu terbabit daripada piano instrumental kepada format lagu penuh.

“Lagu ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang sedang berada dalam situasi terendah, kadang-kadang, kita melalui fasa di mana kita harus bersusah payah dalam pelbagai aspek kehidupan, namun begitu masalah masih belum selesai. Semuanya datang serentak umpama dilanda badai.

“Namun begitu, kita harus ingat bahawa kita tidak seorang dalam kehidupan, kita ada keluarga dan rakan-rakan yang sedia membantu. Lagipun, semua orang ada masalah masing-masing, jadi, jangan sesekali fikir masalah kita yang paling besar. Mungkin apa yang dialami setiap orang itu berbeza, tapi sesuai dengan kemampuan masing- masing.

“Kesimpulannya, jangan biarkan diri kita hanyut dalam masalah, usahalah untuk cari jalan keluar,” kata Aziz yang meminati muzik genre Pop dan R&B.

Memiliki minat yang mendalam terhadap muzik sejak kecil, Aziz gemar mengekspresikan perasaannya menerusi lagu-lagu cover di YouTube dan TikTok. Dia sangat bersyukur kerana rakan-rakan dan keluarganya merupakan peminat tegar yang tidak henti memberikan sokongan. Kini menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman, Aziz tentunya mempunyai impian yang tinggi dalam industri muzik Indonesia.

“Saya gembira dan bangga kerana dapat menyertai label Sony Music Entertaiment, saya berpeluang untuk bekerja dengan pasukan yang berpengalaman dalam bidang muzik, mereka sangat mudah memberi kerjasama. Dengan penglibatan ini, saya harap dapat menghasilkan lebih karya yang disukai ramai pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aziz berkongsi tentang cabaran dalam menyanyikan lagu cover berbanding lagu yang dihasilkan sendiri.

“Kalau saya menyanyi lagu cover, tentu ada cabaran tersendiri kerana saya perlu memberi karakter tersendiri pada lagu yang sudah diketahui ramai.

“Itulah yang selalu saya lakukan, saya akan cuba jadikan setiap lagu cover menjadi versi saya sendiri. Jadi, untuk lagu sendiri ini, saya ada lebih kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara yang diingini,” katanya lagi.

Menyedari ramai penyanyi lagu cover turut mahu menjadi penyanyi profesional seperti dirinya, Aziz berkongsi tip buat mereka.

“Kepada anda yang mahu menjejak kaki ke industri muzik, teruskan meneroka diri sendiri dan belajar banyak perkara baru tentang muzik. Tak mengapa untuk rasa ‘insecure’ atau terlalu berfikir tentang sesuatu, tapi janganlah sampai ia menghalang anda daripada terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Justeru, Aziz berharap agar lagu “Somebody’s Pleasure” mendapat sambutan positif daripada orang ramai, tidak kira buat peminat yang sudah biasa mendengar suaranya sebelum ini, mahupun mereka yang baru pertama kali mendengar dia menyanyi.

“Saya amat berharap lagu ini disambut baik dan membawa kegembiraan serta kekuatan kepada ramai orang yang mendengarnya,” katanya mengakhiri bicara.

‘Lagu Somebody’s Pleasure’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – KopiPlanet.com

The post Lepas Popular Dengan Cover Song, Aziz Hedra Kini Muncul Dengan Single Pertama Somebody’s Pleasure appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.