Ads Top

Filem Gold Angkat Kisah Pemenang Pingat Emas Badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Kejayaan memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi sukan badminiton pastinya memberikan kenangan terindah buat atlet Cheah Liek Hou.

Malah, kejayaan tersebut telah mencetuskan idea buat Astro Shaw untuk menghasilkan sebuah filem iaitu Gold yang mengangkat kisah tentang atlet berkenaan.

Pengarahnya, Adrian Teh berkata, Gold merupakan sebuah filem bertemakan sukan yang mampu membawakan elemen-elemen yang boleh membangkitkan kebanggaan rakyat Malaysia.

“Idea ini tercetus apabila saya melihat sesi interview Cheah bersama wartawan sejurus kemenangannya membawa pulang pingat emas buat negara.

“Apa yang lebih membuat saya rasa terharu apabila dia mengalungkan pingat emas tersebut kepada jurulatihnya iaitu Datuk Rashid Sidek,” ujarnya.

Adrian berkata, filem berkenaan menampilkan Jack Tan sebagai watak utama atlet berkenaan serta Farid Kamil yang membawakan watak sebagai Rashid.

Gold mengisahkan Cheah Liek Hou merupakan seorang pemain badminton yang luar biasa dengan rekod tidak terkalahkan hasil daripada kemahiran yang sangat tinggi.

Namun begitu, sebelum beliau memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Jepun pelbagai rintangan yang dihadapi.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw komited dalam menghasilkan filem berkualiti sekali gus memperkasakan industri filem tempatan ke peringkat global.

“Kali ini kami akan menampilkan kisah berlatarkan kesukanan yang berdasarkan daripada kisah benar pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou dan rasa amat teruja untuk mempersembahkannya kelak.

“Kami percaya semangat kecekalan dan kejayaan membanggakan Cheah Liek Hou harus diangkat dan dijadikan inspirasi seluruh masyarakat,” ujarnya.

Masih menjalani penggambaran setakat ini, filem Gold dijangkan akan ditayangkan pada tahun hadapan bersempena dengan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris pada tahun 2024. – KopiPlanet.com

The post Filem Gold Angkat Kisah Pemenang Pingat Emas Badminton Sukan Paralimpik Tokyo 2020 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.