Ads Top

Dua Peserta Tersingkir, Hanif & Semmat Gagal Teruskan Saingan Di Awesome Raja Lawak

Saingan Awesome Raja Lawak menyaksikan dua peserta sekaligus iaitu Hanis dan Semmat telah tersingkir pada minggu kelapan.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, dia percaya kedua-dua peserta itu telah memberikan persembahan terbaik mereka.

“Perjalanan mereka di pentas Awesome Raja Lawak sampai di sini sahaja, namun saya yakin dengan semangat kental mereka.

“Berbekalkan pengalaman dan tunjuk ajar dari barisan tenaga pengajar serta produksi program realiti komedi ini, dan menerusi platform yang betul, mereka boleh pergi jauh dalam industri seni tanah air, khususnya di arena komedi,” ujarnya.

Dengan penyingkiran berkenaan, ia bermakna hanya tinggal tujuh peserta sahaja lagi yang akan meneruskan saingan untuk ke minggu seterusnya.

Mengulas mengenai kemenangan kumpulan duo iaitu Soda, beliau berkata mereka selayaknya muncul pemenang mingguan kerana berjaya menggandingkan parodi watak popular anak ahli sihir rekaan novelis tersohor dunia, JK Rowling, Harry Potter dengan program game-show terbitan antarabangsa, ‘Who wants to be a millionaire?’ dengan cukup kemas sekali.

“Sofwan dan Dani berjaya memenangi hati juri tetap, Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek dari satu ‘punchline’ ke ‘punchline’ yang lain, seterusnya merekodkan sejumlah 83% markah keseluruhan dan mendapat 3 ‘UP’.

“Kumpulan Sedare yang dianggotai oleh Afea dan AG Hafiz juga tidak kurang hebatnya apabila mengejar rapat di kedudukan kedua dengan markah terkumpul sebanyak 80%. Lakonan mereka yang memparodikan peristiwa serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong ternyata menghiburkan dan watak suami isteri yang dibawa juga dilihat menjadi,” jelasnya.

Berbaki dua minggu sahaja lagi barisan peserta Awesome Raja Lawak akan dinobatkan sebagai Juara musim pertama ini seterusnya membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM50,000.

Pada minggu kesembilan yang juga merupakan minggu separuh akhir, peserta ditugaskan mempersembahkan dua sketsa bertemakan ‘Seram dan Superhero’.

Awesome Raja Lawak’ yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam di Awesome TV, saluran Astro (123) dan MyTV (112) dan siaran ulangan pada setiap hari Ahad, 6.00 petang. – KopiPlanet.com

The post Dua Peserta Tersingkir, Hanif & Semmat Gagal Teruskan Saingan Di Awesome Raja Lawak appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.