Ads Top

Syafiq Kyle Cabar Diri Berlakon Filem Aksi Muay Thai Siku 12: Langkah Derhaka

Demi mencabar diri dalam filem bergenre aksi, pelakon popular Syafiq Kyle mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan serta kepala benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang.

Syafiq berkata, sudah menjadi lumrah apabila seseorang pelakon mengalami kecederaan fizikal, namun dalam masa yang sama, dirinya masih mengambil langkah berhati-hati.

“Sepanjang berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan dulu (PKP), saya memang menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium.

“Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka itu,” katanya.

Syafiq berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd itu untuk mencabar diri beraksi sebagai peninju.

Menerusi filem genre aksi arahan Azhari Zain itu, Syafiq telah bergandingan dengan aktor terkenal, Zahiril Adzim selaku teraju utama.

Selain itu, ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar serta dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Dalam pada itu, Syafiq menjelaskan dia juga sudah membuat persiapan awal dengan berlatih di gimnasium sebelum memasuki lokasi penggambaran filem Siku 12: Langkah Derhaka itu.

Berkongsi cabaran, pelakon itu bersyukur kerana memiliki asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai yang diminati sejak dulu.

“Selain ada asas seni Muay Thai, saya juga berlatih dengan guru seni silat Siku 12 dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran.

“Sudah namanya filem aksi, saya juga mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan dan kepala juga benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Zahiril pula, kata Syafiq, ia kali pertama dia bekerjasama dengan pelakon senior itu.

“Zahiril juga ada asas dalam seni silat dan saya juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian berlakon dengannya.

“Dia bukan saja pelakon senior yang berpengalaman tetapi juga kelakar ketika di lokasi,” katanya.

Antara cabaran lain, kata Syafiq, dia perlu menguasai dialek Kedah untuk menjiwai watak utama sebagai Atid dalam filem itu.

“Mujur penerbit, Mohamad Pozi Mansor dan barisan kru filem Siku 12: Langkah Derhaka banyak membantu memperbetulkan dialek Kedah ketika di lokasi.

“Pada masa sama, saya juga selesa bekerjasama dengan Azhari selaku pengarah yang cukup berpengalaman kerana dia memberi kebebasan kepada pelakon untuk menjiwai karakter masing-masing.

“Azhari tidak garang tetapi suaranya sangat kuat ketika memberi arahan kepada pelakon dan kru di lokasi demi memastikan semua pelakon dapat menjiwai watak mengikut tuntutan skripnya,” katanya.

Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka mengisahkan Atid dan A Wut berketurunan Siam adalah dua sahabat baik tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.

Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai, apatah lagi, pertandingan Muay Thai dianjurkan selepas padi dituai dengan terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun.

Bapa Atid, Ayah Man pernah belajar ilmu persilatan Seni Silat Tua Melayu Permainan Siku 12 dengan Tuan Guru Haji Zainal. Semasa berlawan dengan beberapa perompak bersama sahabatnya, Harun, Ayah Man secara tidak sengaja tertikam salah seorang perompak.

Harun menyuruh Ayah Man melarikan diri ke kampung isterinya di Pattani. Kerana peristiwa itu, Harun berkorban dan akhirnya, meninggal dalam penjara.

Siku 12, antara dendam, jurus Siku 12 Langkah Derhaka, maruah diri, cinta, persahabatan dan takdir, di sinilah bakal merungkai segala-galanya mulai 27 Oktober ini di pawagam seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura. – KopiPlanet.com

The post Syafiq Kyle Cabar Diri Berlakon Filem Aksi Muay Thai Siku 12: Langkah Derhaka appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.