Ads Top

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa Sarat Dengan Aksi Pertempuran Udara & Darat

Tajuk: Air Force The Movie: Selagi Bernyawa
Tarikh Tayangan: 25 OGOS 2022
Genre: Aksi perang
Pengarah: Zulkarnain Azhar, Frank See
Pelakon: Aiman Hakim Redza, Nas-T, Datuk Adi Putra, Johan As’ari, Sara Ali, Anas Ridzuan, Iman Corrine, Lukman Hafiz, Pablo Amirul

Selepas filem Paskal yang memaparkan kisah pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kini penonton disajikan dengan filem Air Force The Movie yang lebih menjurus kepada kisah tentera udara.

Filem ini mengisahkan tentang Kapten Adib dan Mejar Adnan bersama skuad Pasukan Khas yang telah terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan. Di dalam penerbangan semasa perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh kumpulan pengganas.

Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengarahkan satu misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran, abang ipar kepada Adib yang juga seorang juruterbang pesawat pejuang Sukhoi serta aset-aset tempur TUDM yang lain telah secara bersama diatur gerakkan untuk menyelamatkan mereka. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Bagi yang meminati filem bergenre aksi peperangan, ia sebuah naskhah yang cukup menarik untuk ditonton kerana menampilkan jalan cerita yang cukup menarik.

Bukan sekadar memaparkan aksi pertempuran di udara, filem ini juga memaparkan aksi pertempuran di darat, menerusi babak membabitkan pasukan Paskau yang bertempur dengan kumpulan pengganas.

Selain itu, penonton turut disajikan dengan paparan aset-aset tentera udara seperti Sukhoi Su-30MKM serta ketangkasan jet pejuang yang dimiliki dalam aksi dogfight yang agak realistik dan cukup mendebarkan.

Sesuatu yang cukup memberi keterujaan apabila rakaman ‘dogfight’ di luar kokpit adalah rakaman sebenarnya, seperti mana yang dikatakan pengarah, dan ini membuktikan, Malaysia mampu menghasilkan sebuah filem aksi perang yang melibatkan pesawat jet pejuang.

Biarpun dilihat sebagai sebuah filem yang cukup hebat, namun terdapat juga beberapa kelemahan, terumata sekali perkembangan jalan ceritanya.

Terutama sekali konflik yang membabitkan dua sahabat baik iaitu Kapten Adib (Nas-T) dan Mejar Zafran, di mana konflik yang dipaparkan terlalu ringkas dan seperti kurang memberi impak.

Apapun, secara keseluruhannya Air Force The Movie: Selagi Bernyawa adalah sebuah filem yang sememangnya wajib untuk ditonton.

Penilaian: 3.5/5

The post Air Force The Movie: Selagi Bernyawa Sarat Dengan Aksi Pertempuran Udara & Darat appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.