Ads Top

Syahmi Sazli Pertaruhkan Filem Baharu 35mm, Kisah Tentang Pengembaraan Masa

Pengarah muda berbakat besar yang telah menggegarkan industri filem tempatan pada tahun 2020 dengan hasil karyanya, Mael Totey The Movie iaitu Syahmi Sazli kembali mempertaruhkan filem keduanya iaitu 35mm.

Menariknya, filem 35mm bukan sahaja mempertaruhkan jalan cerita yang berkonsepkan pengembaraan masa atau ‘time travel’, malah turut padat dengan aksi mendebarkan dan serta penggunaan teknik CGI.

Teryata, ia sekali gus menyaksikan kemampuan Syahmi Sazli sebagai pengarah kreatif dalam menghasilkan sesebuah filem.

Idea asal 35mm adalah daripada Syahmi Sazli sendiri dan menerusi filem berdurasi 1 jam 47 minit ini, pengarah berkenaan cuba membawa penonton mengimbau evolusi dan budaya masyarakat tempatan.

Ia bermula dari zaman Dinasti Cina, kemudian memasuki zaman jajahan Jepun dan British, era kegemilangan sukan badminton pada tahun 90an, imbau kenangan aktiviti zaman kanak-kanak sebelum hadirnya pelbagai teknologi.

Syahmi berkata, dia berasa lega dan gembira kerana akhirnya filem terbaru arahannya bersama Senibayan akan menemui penonton.

“Rentetan daripada sambutan positif dan komen membina daripada terhadap filem Mael Totey The Movie, ia menyuntik semangat untuk menyahut cabaran terus berkarya menghasilkan filem.

Bercakap mengenai cabaran dalam pengarahan, kali ini memperlihatkan penggunaan teknik CGI dan ini bukan ‘forte’ utama saya. Jadi banyak yang saya pelajari dan harap hasilnya boleh diterima ramai,” ujarnya.

Jelasnya lagi, antara cabaran lain adalah membimbing Yoe Parey dan Asif Suhaimi untuk menjiwai watak dan berlakon dalam situasi yang lebih serius.

“Seperti yang diketahui umum, sebelum ini skrip lakonan kami lebih bersahaja tetapi berbeza menerusi filem saya yang terbaharu ini.

“Saya mengharapkan 35mm dapat mengubati rindu peminat terhadap konten daripada kami serta filem ini dapat menghiburkan ramai penonton,” ujarnya.

Selain mereka bertiga, antara pelakon lain yang membintangi filem 35mm adalah Kenji Sawahii, Puteri Kapitan Hung, Hushairy Hussein , Melanie Tan, Ainul Yakin, Mohammad (Abe Mat), Xing Hu, MN Badri dan ramai lagi.

35mm mengisahkan tentang tiga sahabat, Syahmi, Asif, Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik. Antara zaman yang dilewati adalah pada tahun Dinasti Cina, zaman jajahan Jepun, pemerintahan British.

Setiap era yang dilewati pasti mempunyai cabaran yang perlu mereka hadapi bagi meloloskan diri. Apabila mereka berada di tahun 1997, Yoe merasa hiba kerana buat pertama kali berjumpa ibu bapanya. Namun mereka perlu kembali di tahun 2020 walau apa cara sekalipun.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat teruja apabila diberi kepercayaan sekali lagi untuk memasarkan filem arahan Syahmi Sazli di platfrom Astro First.

“Melihat hasil akhir filem 35mm, kami yakin ia mampu memperlihatkan transisi berbeza Syahmi Sazli dalam pengarahan dan sudut penceritaan, yang mana ia bukan menghidangkan sekadar jalan cerita santai tetapi turut mengajak penonton menghayati pengorbanan generasi lalu, di samping menikmati babak aksi dan CGI yang memukau.

“Kami berharap karya 35mm kehadiran mampu mengulangi kejayaan filem Mael Totey The Movie serta dapat meneruskan lebih banyak kerjasama bersama Syahmi Sazli di masa akan datang,” ujarnya.

Jangan lepaskan peluang untuk melanggan 35mm Di Pawagam Rumah Anda, Astro First sudah bermula pada 21 Jun 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

The post Syahmi Sazli Pertaruhkan Filem Baharu 35mm, Kisah Tentang Pengembaraan Masa appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.