Ads Top

Masih Belum Bertemu Jodoh, Aishah Ilias Tidak Kisah Digelar Andartu

Pelakon tinggi lampai, Aishah Ilias menyatakan tidak kisah jika dia digelar ‘andartu’ kerana masih belum bertemu jodoh pada usia 35 tahun.

Bagi Aishah, meskipun ada berkawan dengan beberapa lelaki, tetapi masih ada yang belum istimewa dań dia hanya menyerahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan.

“Jodoh dan pertemuan urusan Tuhan, siapa kita mahu menentukannya? Memang saya ada juga berkawan dengan lelaki, tetapi tiada teman istimewa yang sesuai dijadikan calon suami.

“Pada usia sekarang, saya mencari calon suami baik, bertanggungjawab dan boleh memberi komitmen terbaik apabila berumah tangga,” katanya.

Diajukan soalan adakah pernahkah didekati suami orang, Aishah menafikannya dan menegaskan untuk tidak berkongsi kasih dengan wanita lain.

“Setakat ini, hanya lelaki bujang cuba mendekati kerana saya memang mengelak berkawan suami orang. Maaflah, saya tidak suka berkongsi kasih dengan wanita lain,” katanya.

Beralih perkembangan kerjaya seninya, Aishah tidak sabar menanti lakonannya dalam filem genre seram Musyrik – Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

Menerusi filem arahan Arjin Uppal itu, Aishah bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Aeril Zafrel dan Ruhainies selaku teraju utama.

“Saya tidak menolak tawaran untuk berlakon dalam projek yang membabitkan filem kerana mahu mengembangkan bakat ke layar perak.

“Sebelum ini, saya pernah membintangi filem seram, Paku dan Pilot Cafe. Dalam masa sama, siapa tidak mahu berganding dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril,” katanya.

Mengulas pengalaman berlakon dalam filem Musyrik – Api Neraka Menantimu!, Aishah berkata, dia melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril dalam filem berkenaan.

“Antara pengalaman sukar dilupakan apabila badan menggelembung gatal di seluruh badan ketika menjayakan satu babak.

“Saya terpaksa dihantar ke klinik untuk mengambil suntikan bagi merawat gatal-gatal ini hingga penggambaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya.

Selain Ashraf, Aeril, Ruhainies dan Aishah, filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! turut menampilkan barisan pelakon seperti Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies sejak 15 Jun lalu. – KopiPlanet.com

The post Masih Belum Bertemu Jodoh, Aishah Ilias Tidak Kisah Digelar Andartu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.