Ads Top

Konsert Reunion U.K’s 25 Tahun Sukses … U.K’s Buktikan Masih Lagi Berbisa

Biarpun usia penubuhan kumpulan U.K’s sudah mencecah 25 tahun, mereka membuktikan masih lagi berbisa seperti era kegemilangan pada tahun 90-an duhulu.

Ini dibuktikan menerusi aksi mereka semasa Konsert Reunion U.K’s 25 Tahun yang berlangsung di Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun yang lalu.

Selain dikategorikan sebagai sebuah konsert yang sukses, persembahan Amir selaku vokalis juga wajar dipuji dan masih mantap pada usianya yang kini sudah mencecah 53 tahun.

Pada konsert tersebut, penonton yang hadir rata-ratanya berpuas hati dan terhibur dengan seleksi lagu-lagu yang dipersembahkan pada konsert berkenaan.

Boleh dikatakan hampir keseluruhan lagu yang dinyanyikan pada konsert yang berlangsung selama dua malam itu adalah lagu yang sememangnya menjadi siulan penggemar lagu-lagu U.K’s dahulu.

Menariknya, penonton yang hadir turut sama-sama menyanyi bersama Amir ketika mempersembahkan lagu seperti Kau Satu-Satunya, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Rhythm Si Jantung Hati, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Seksa dan banyak lagi.

Usai konsert pada malam pertama, Amir yang ditemui semasa sidang akhbar berkata, ia adalah sebuah konsert reunion sangat dinantikan kumpulan U.K’s.

“Konsert ini benar-benar menguji kemampuan kami pada usia yang sebegini. Semuanya berjalan lancar dan ia berbaloi setelah mula berlatih sejak Disember 2021 setelah mendapat tahu U.K’s akan beraksi di Istana Budaya.

“Ia takkan berakhir di sini sahaja kerana selepas ini kami akan melebarkan sayap untuk beraksi di luar negara seperti Indonesia dan Singapura,” ujarnya.

Lebih istimewa lagi, pada konsert itu juga turut diselitkan sebuah segmen untuk penghormatan buat Saari Amir yang sememangnya seorang komposer yang menghasilkan hampir keseluruhan lagu-lagu kumpulan berkenaan.

Malah, penonton turut dihiburkan dengan nyanyian duet Amir dan Saari yang juga adalah pengasas kumpulan U.K’s menerusi lagu Kita Sama Sahaja.

“Dengan kehadiran sifu kami iaitu Saari Amri, kami tak sangka yang beliau boleh perform. Selain itu, saya tak terucap dengan kata-kata kerana masih ramai yang menghafal lagu-lagu U.K’s.

“Bagi saya, lirik-lirik lagu U.K’s ini melekat di hati peminat, terutama yang membesar dengan lagu-lagu kami. Saya pun tak sangka lagu kami akan terus digemari sampai bila-bila,” ujarnya.

Berlangsung selama dua hari, kumpulan U.K’s mempersembahkan lebih daripada 20 lagu, termasuk beberapa medley dan segmen khas sepanjang berlangsung hampir tiga jam. – KopiPlanet.com

The post Konsert Reunion U.K’s 25 Tahun Sukses … U.K’s Buktikan Masih Lagi Berbisa appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.