Ads Top

Jatuh Cinta Dengan Malaysia, Aiman Wynne Sanggup Tinggalkan UK… Elak Bertutur Bahasa Inggeris Semata-Mata Mahu Fasih Berbahasa Melayu

Membesar di United Kingdom sejak kecil, akhirnya jejaka yang dikenali sebagai Aiman Nasir Wynne memilih untuk pulang ke negara kelahiran bapanya iaitu Malaysia yang berasal dari Pasar Puteh, Kelantan.

Jejaka kacukan Inggeris (ibu) dan Melayu (bapa) itu yang kini menetap di Kuala Lumpur memberitahu, dia merasakan sudah jatuh cinta dengan Malaysia sejak kali pertama datang ke negara ini, malah berusaha untuk fasih bercakap bahasa Kelantan.

“Saya pernah datang ke Malaysia pada usia 16 tahun dan terus rasa suka, kemudian tahun seterusnya saya datang dan tinggal di sini kira-kira dua bulan. Apabila sudah berusia 18 tahun, saya terus nekad nak menetap di sini. Tetapi kerana pandemik Covid-19, saya terpaksa tinggal di UK dahulu.

“Jadi macam mana nak berinteraksi dengan orang Kelantan tetapi tinggal di UK? Maka saya buatlah video dan muatnaik di YouTube untuk memberitahu betapa saya cintakan Malaysia. Sekarang ini saya dalam proses untuk mengenali diri saya dia. My other side. Jadi saya mohon peminat saya untuk mengajar saya kecek kelate kerana saya tak boleh nak belajar sendiri,” ujarnya.

Menurut Aiman, biarpun dibesarkan di UK, Aiman menyatakan dia sentiasa mengamalkan cara hidup Islam sejak kecil serta pernah menetap seketika di Kelantan untuk lebih mendalami ajaran Islam dan budaya tradisi Melayu.

Dalam pada itu, jejaka yang mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan itu juga mengakui masih belum lagi fasih berbahasa Melayu.

Malah, Aiman juga tidak mahu mana-mana individu yang bertemu dengannya bertutur bahasa Inggeris, sebaliknya bercakat bahasa Melayu untuk membantunya menjadi lebih fasih.

“Saya belum lagi fasih berbahasa Melayu, baru saja nak mula dan sebenarnya ia akan jadi lebih mudah jika orang bercakap Melayu dengan saya. Kalau belajar sendiri atau macam di sekolah, ia akan mengambil masa yang sangat lama, mungkin sampai 4 tahun.

“Bagi saya, cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa adalah dengan bercakap menggunakan bahasa yang ingin dipelajari. Dahulu ketika membesar, saya bercakap dalam Inggeris, kemudian saya belajar pula kecek Kelate. Dan sekarang saya mahu belajar Bahasa Melayu kerana saya mahu sertai dunia hiburan,” ujarnya.

Aiman yang kini berada di bawah syarikat pengurusan bakat Mask Team berkata, dia ingin serius menceburi bidang lakonan dan pengacaraan.

Dalam perkembangan lain, Aiman juga mahu sertai dunia seni hiburan dan bakal muncul dalam satu program travelogue jelajah seluruh Malaysia.

“Insya Allah, menerusi perancangan daripada Pihak pengurusan, saya akan menjelajah bebebrapa buah negeri di Malaysia untuk mengenali lebih dekat budaya Malaysia. Tak sabar rasanya nak explore Malaysia”, kata Aiman. – KopiPlanet.com

The post Jatuh Cinta Dengan Malaysia, Aiman Wynne Sanggup Tinggalkan UK… Elak Bertutur Bahasa Inggeris Semata-Mata Mahu Fasih Berbahasa Melayu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.