Ads Top

Sertai Rancangan Mencari Sepahtu Yang Hilang… Kumpulan Arteh Risau Penonton Letakkan Harapan Tinggi Setelah Diketahui Sebagai Anak Mr. Os

Kumpulan Arteh yang disertai Hafizul dan Hazwan menyatakan mereka berharap supaya tidak dibayangi populariti bapa mereka iaitu Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr. Os apabila terpilih menyertai rancangan realiti Mencari Sepahtu Yang Hilang.

Hafizul selaku adik berkata, dia dan abangnya mengakui berasa risau apabila penonton akan meletakkan harapan yang tinggi serta membandingkan dengan arwah bapa mereka.

“Pada mulanya memang kami tidak mahu dikenali ramai sebagai anak Mr. Os kerana bimbang orang ramai anggap kami menumpang populariti arwah ayah.

“Apa yang paling utama, akan ada perbezaan dalam aksi yang dipersembahkan dalam pertandingan ini nanti. Kalau boleh kami enggan dibayangi arwah bapa, sebaliknya meneruskan legasinya sahaja,” ujarnya.

Hafizul berkata demikian sewaktu majlis pelancaran program Mencari Sepahtu Yang Hilang yang berlangsung di VE Hotel & Residence, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Hazwan pula menyatakan pemilihan mereka dalam rancangan berkenaan bukan disebabkan mereka anak kepada arwah Mr. Os.

Jelasnya, ketika menghantar video aksi mereka untuk sesi ujibakat, dia dan adiknya langsung tidak pernah menyebut tentang bapa mereka.

“Kalau nak kata kami layak sertai rancangan ini kerana arwah bapa, sudah tentu ia tidak benar. Malah, identiti kami hanya terdedah ketika ditemubual secara maya bersama Pak Ya.

“Sebelum ini memang kami pernah bertemu dengan Pak Ya ketika arwah ayah masih hidup, namun kami dipilih bukanlah sebab Pak Ya mengenali kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mencari Sepahtu Yang Hilang merupakan sebuah rancangan pencarian bakat komedi baharu terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Rancangan itu juga merupakan cetusan idea daripada anggota asal Sepahtu iaitu Jep untuk mencari individu yang berkelayakan menganggotai kumpulan Sepahtu serta beraksi dalam rancangan Sepahtu Reunion.

Terdahulu, pihak produksi telah memulakan usaha pencarian bakat-bakat baharu dengan menerima penyertaan secara atas talian dari 1 Jun hingga 31 Ogos lalu. 

Seramai 12 kumpulan peserta dari penyertaan solo, duo dan trio kemudiannya telah dipilih untuk menyertai program terbaharu terbitan Astro Warna, Mencari Sepahtu Yang Hilang ini. Mereka adalah Yusra (solo), Muslim (solo), Arteh, Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (peserta trio).

Ahli kumpulan Sepahtu, Jep, Rahim dan Pak Ya akan menggalas tanggungjawab sebagai juri untuk program ini, manakala Ebby Yus dan Datin Marlia Musa bertindak selaku mentor.

Mencari Sepahtu Yang Hilang akan bersiaran selama lapan (8) minggu dan bakal menemui peminat pada setiap hari Khamis mulai 2 Disember 2021, 9.00 malam, secara langsung menerusi saluran komedi, Astro Warna, saluran 107. – KopiPlanet.com

The post Sertai Rancangan Mencari Sepahtu Yang Hilang… Kumpulan Arteh Risau Penonton Letakkan Harapan Tinggi Setelah Diketahui Sebagai Anak Mr. Os appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.