“Nak Kritik Filem Boleh, Tetapi Biar Nampak Bijak” – Syamsul Yusof Tegaskan Ada Perbezaan Mengkritik & Memaki
Pelakon dan pengarah popular, Syamsul Yusof menyatakan sesiapa sahaja boleh memberikan sebarang kritikan terhadap filem yang ditonton, termasuk menerusi platform media sosial seperti YouTube.
Bagaimanapun, Syamsul menegaskan bahawa terdapat perbezaan antara mengkritik dan menghina sesebuah naskhah filem yang dihasilkan.
“Bagi saya sesiapa pun boleh mengkritik filem, sama ada menerusi YouTube atau pun apa sahaja platform lain. Yang penting kena ada ilmu nak kritik dan bukan menghina. Boleh nak kritik filem boleh tetapi biar nampak bijak.
“Saya sendiri akan bersikap terbuka kerana kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Hanya perlu kuatkan mental dan fokus pada kerja yang dilakukan,” katanya.
Syamsul berkata demikian dalam sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal pada Rabu.
IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.
Syamsul merupakan pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.
Sementara itu, mengulas mengenai perihal rumah tangganya yang satu ketika pernah menjadi bualan hangat peminat, Syamsul berharap supaya semua dapat mendaoakan yang terbaik.
“Saya ingatkan yang bila kita dah berkahwin, kehidupan akan lebih rileks. Tetapi cabaran dan tanggungjawab sebenarnya lebih besar.
“Apa yang kita perlu buat adalah untuk mencuba yang terbaik dan berdoa yang terbaik untuk keluarga,” katanya.
Untuk rekod, rumah tangga Syamsul dikatakan goyah pada September lalu apabila kelibat isterinya, Puteri Sarah dilihat berada di mahkamah.
Namun, Syamsul yang juga bapa kepada dua orang anak iaitu Syaikhul Islam, 4, dan Summayah, 2, memberitahu yang mereka sedang dalam proses memperbaiki hubungan. – KopiPlanet.com
The post “Nak Kritik Filem Boleh, Tetapi Biar Nampak Bijak” – Syamsul Yusof Tegaskan Ada Perbezaan Mengkritik & Memaki appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: