Masalah Sakit Tulang Belakang Beransur Pulih, Zamani Yakin Mampu Beraksi Dalam Konsert Mentari Muncul Lagi
Sebelum ini, ramai yang mengetahui mengenai keadaan kesihatan vokalis kumpulan Slam yang berhadapan masalah sakit tulang belakang sehingga badannya melengkung.
Bagaimanapun, Zamani berkata keadaan kesihatannya kini semakin beransur pilih dan yakin mampu beraksi dalam konsert Mentari Muncul Lagi yang akan berlangsung pada 12 Februari 2022.
“Tidak dinafikan masalah sakit tulang belakang itu sebenarnya bukan sahaja mengganggu fizikal saya, tetapi juga kemampuan untuk menyanyi.
“Alhamdulillah… menerusi hasil rawatan berterusan termasuklah dengan menggunakan katil Ceragem, kesihatan saya semakin baik.
“Sebab itu saya yakin untuk mengadakan konsert pada tahun hadapan. Kalau ikutkan tarikh asal iaitu pada Januari lalu, memang ketika itu masih sakit,” katanya.
Zamani berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 12 Februari depan.
Sebelum ini, Zamani yang popular menerusi lagu Gerimis Mengundang sebenarnya menghidap penyakit skoliosis yang membuatkan tulang belakang melengkung.
Bakal beraksi selama dua jam di atas pentas, Zamani berkata dia akan memulakan latihan secepat mungkin untuk memastikan stamina dan hasil yang terbaik buat peminatnya.
“Saya sebenarnya tidak mahu faktor kesihatan dijadikan alasan untuk kami tidak memberikan yang terbaik buat peminat.
“Kalau boleh saya mahu tutup buku terus mengenai masalah kesihatan ini dan beri fokus sepenuhnya untuk persediaan dan ketika konsert itu nanti,” katanya.
Mengulas mengenai konsert itu, Shah memberi keyakinan yang kelainan akan dipersembahkan pada malam tersebut.
“Kalau sebut tentang kelainan, kami boleh katakan susunan muzik akan lebih mantap lagi dan kita membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrument.
“Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan.
“Rasanya ini merupakan sebuah ‘stepping stone’ untuk Slam memberikan satu perkara baru untuk para peminat,” katanya.
Tiket bagi Konsert Slam Mentari Muncul Lagi bermula serendah RM130 hingga RM700 dan tempahan tiket boleh dilakuka menerusi www.myticket.asia
Peminat-peminat Slam juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia. – KopiPlanet.com
The post Masalah Sakit Tulang Belakang Beransur Pulih, Zamani Yakin Mampu Beraksi Dalam Konsert Mentari Muncul Lagi appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: