Ads Top

Haqiem Rusli Kini Sah Bergelar Suami, Nilai Keseluruhan Anggaran Majlis Perkahwinan Cecah Lebih RM7 Juta

Dengan dua kali lafaz, penyanyi popular, Haqiem Rusli kini telah sah bergelar suami kepada Anis Sofea dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya pada jam 3.40 petang tadi dengan dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Zamzuri Ruslan, bersaksikan keluarga tercinta dan kenalan rapat pasangan.

Haqiem Rusli atau nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima dulang hantaran kepada pasangan tercinta Wan Anis Sofea binti Wan Zamzuri, atau lebih mesra disapa Anis Sofea.

Pasangan sama cantik sama padan ini memanjat kesyukuran hari bahagianya berjalan dengan lancar dan diraikan dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga tercinta, kenalan rapat dan media sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis perkahwinan dan sosial yang telah ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Pasangan yang bagai pinang dibelah dua ini telah menjalin percintaan sejak dua tahun lepas, berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan mereka. 

Dia (Anis Sofea) amat sempurna buat saya, dan saya sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan ketrampilannya yang telah menambat hati saya untuk memilikinya,” jelas Haqiem.

Sofea pula menerangkan, “Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya.”

Dalam suasana majlis gemilang bak taman syurga yang menjelmakan keajaiban dan magikal, Haqiem menghadiahi isteri tercinta sebuah lagu karyanya sendiri iaitu Hitam Saksi Putih yang akan didendangkan semasa Majlis Resepsi.

Majlis perkahwinan yang bertemakan ‘Garden Wedding’ beronakan warna putih dan hijau taman diolah oleh Mega Bridal Creations bagi majlis Ijab dan Qabul yang diadakan di skyLounge, Aras 20 di SkyPark Cyberjaya. Pasangan mengenakan busana indah dari pereka terkenal, Razman Razmi.

Sementara itu, meraikan hari yang bahagia ini, pasangan telah memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan dan resepsi secara tertutup pada sebelah malam bertemakan “Wedding in the Sky” atau “Raikan Cinta di Langit Asmara” bertempat di skyGlass Cyberjaya.

Bertempat di Aras 22 SkyPark Cyberjaya, skyGlass Designer Event Hall merupakan dewan acara berprestiij berkonsepkan “Glasshouse” dan “Modern Victorian” yang menawarkan pemandangan panorama 360 darjah seluruh Cyberjaya, Putrajaya dan juga Kuala Lumpur City Centre.

Turut meraikan detik bersejarah pasangan ini, HABIB Jewels, jenama barang kemas tempatan menyerikan pasangan dengan aksesori berlian dan barangan kemas bernilai RM5 juta bagi kedua-dua majlis. Kedua-dua mempelai merupakan pelanggan HABIB apabila memilih untuk membeli cincin perkahwinan mereka.

Cincin berlian Hearts of Fire merupakan berlian terbaik dunia menjadi pilihan kedua mempelai. Persalinan kedua mempelai untuk majlis pernikahan dan persandingan dilengkapi koleksi berlian potongan ekslusif dari HABIB, manakala nilai keseluruhan majlis perkahwinan dianggarkan lebih RM7 juta. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram @aqoimran

*Jom klik link Telegram https://t.me/KopiPlanet & subscribe untuk mengetahui cerita2 terbaharu dunia hiburan

The post Haqiem Rusli Kini Sah Bergelar Suami, Nilai Keseluruhan Anggaran Majlis Perkahwinan Cecah Lebih RM7 Juta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.