Gagal Bayar Pampasan RM200,000, Mahkamah Tinggi Arahkan Harta Sajat Disita
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan harta usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat disita bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada bekas stokis utamanya, OWA Resources Sdn. Bhd (OWA Resources).
Perintah penyitaan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Md. Nor selepas membenarkan permohonan Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, dari syarikat berkenaan.
Nurwati dan Mohamed Syakir yang merupakan bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Muhammad Sajjad mengambil tindakan menyita susulan kegagalan usahawan tersebut membayar jumlah penghakiman pada bulan Disember tahun 2020.
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan pukul 10.30 pagi Selasa di rumah Muhammad Sajjad yang beralamat di Kota Damansara, Selangor.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Muhammad Sajjad tidak memberi sebarang respons untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi kepada OWA Resources.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Nurwati dan Syakir berkata, anak-anak guam fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah.
Barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif.
“Writ penyitaan dan penjualan telahpun ditampal di premis defendan pada hari ini (Selasa) dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.
“Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang telah disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual,” tambah Nurul Hafidzah.
Keputusan terkini Mahkamah Tinggi itu adalah satu lagi tamparan terhadap usaha Muhammad Sajjad mengelak membayar pampasan yang diarahkan mahkamah setelah didapati melanggar kontrak perniagaan kerana gagal membekalkan bengkung dan girdle kepada stokis beliau seperti yang dipersetujui. – KopiPlanet.com
The post Gagal Bayar Pampasan RM200,000, Mahkamah Tinggi Arahkan Harta Sajat Disita appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: