Che Ta Curi Tumpuan Ramai Ketika Hadir Di KLFA 2021, Tampil Dengan Fesyen Menutup Muka & Gaun Moden Berharga RM50,000, Dijahit Lebih 5,000 Butir Batu Berlian
Kehadiran pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta sebagai ‘muse’ pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di acara Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 yang berlangsung semalam ternyata mencuri tumpuan ramai.
Apa yang menarik perhatian, pelakon itu sanggup berfesyen dengan menutup mukanya dengan kain jaring atau ‘net’ yang ditinta dengan batu berlian berwarna perak sepanjang majlis berlangsung.
Pada acara berkenaan, Che Ta menyarung gaun moden rona hitam rekaan pereka berkenaan menggunakan fabrik jenis twill dijahit penuh dengan lebih 5000 butir batu berlian dan ‘chunky bead’.
Istimewanya, gaun berharga RM50,000 itu dikatakan memakan masa selama sebulan untuk disiapkan kerana serba serbi dihasilkan secara ‘hand made’ atau jahitan tangan, manakala sarung tangan dan pelitup muka rona sama pula menggunakan ‘net’ juga bertatah berlian berwarna perak.
Sementara itu, Ezuwan sendiri juga tak kalah dengan sut hitam berharga RM40,000 menggunakan fabrik broket dilengkapi 10,000 butir batu ‘chunky bead’ dan berlian jahitan tangan. Fabrik ‘net’ pelitup muka dan sarung tangan juga bertatah batu jenis sama.
Ternyata mereka yang melihat penampilan Che Ta dan Ezuwan menutup seluruh tubuh termasuklah bahagian muka mereka saling tak tumpah seperti gaya selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.
Selain itu, ramai juga yang terkejut kerana Che Ta yang selama ini selesa menunjukkan wajah bersolek buat kali pertama menutupi raut wajahnya ibarat Kim K Versi Muslimah.
Che Ta berkata, dia bersetuju untuk menjadi ‘muse’ atau ‘plus one’ (pasangan Ezuwan) kerana melihat ia satu pengalaman berbeza, seiring dengan era pandemik menuju endemik ini.
“Kami memang berkawan baik. Malah, saya rasa permintaannya untuk berfesyen sebegini bukan selalu atau seperti lazimnya. Jadi kenapa saya nak menolak. Ia satu kelainan.
“Lagipun pelitup muka itu menggunakan kain jaring yang ada terang terang ada lubang atau ‘udara’. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada ‘udara’, saya sendiri fikir banyak kali. Barangkali semput juga saya jadinya.
“Cuma sedikit mencabar saya harus kekal dengan gaya sebegitu sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, why not. Telefon bimbit pun saya terpaksa abaikan ketika majlis berlangsung,” katanya yang turut menjadi penyampai trofi pada acara itu.
Dalam pada itu, Ezuwan yang sudah lapan tahun mengukuhkan jenama fesyennya percaya dan yakin Che Ta mampu ‘carry’ ilham dan imaginasi rekaannya pada acara yang turut mendapat kerjasama jenama Lexus itu.
“Apabila diundang ke acara itu, nama Che Ta terlintas dan pantas bermain di minda. Cuma apabila dia bersetuju nak tutup wajahnya saya sendiri tak menyangka.
“Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik. Tapi dia jenis yang tak banyak songeh dan sempoi.
“Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun. Fesyen ini pendek kata kenalah dengan musim pandemik,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Sebelum ini, Janna Nick yang baru dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH)ke-34 juga tampil dengan gaya seakan sama di samping kekasih hatinya Dini Schatzmann yang turut memakai penutup muka seakan-akan karakter di dalam filem Korea popular, Squid Game ketika menghadiri acara tersebut. – KopiPlanet.com
The post Che Ta Curi Tumpuan Ramai Ketika Hadir Di KLFA 2021, Tampil Dengan Fesyen Menutup Muka & Gaun Moden Berharga RM50,000, Dijahit Lebih 5,000 Butir Batu Berlian appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: