Akui Sedang Alami Tekanan & Berat Badan Turun Mendadak, Baby Shima Jalani Sesi Kaunseling
Penyanyi popular Baby Shima mengakui dia terpaksa menjalani sesi kaunseling setelah dirinya berhadapan dengan tekanan dan depresi.
Baby Shima berkata, dia berhadapan dengan keadaan tersebut kerana sudah tidak tahan dengan kecaman netizen yang dlihat begitu melampau terhadap dirinya.
“Saya memang betul-betul stres, bukan main-main. Sehinggakan saya ambil keputusan dapatkan khidmat kaunseling. Pada awalnya saya tak mahu dapatkan khidmat ini, tambahan pula saya kurang pendedahan mengenai rawatan kesihatan mental sebelum ini.
“Namun setelah dinasihati oleh seorang kawan rapat, akhirnya saya bersetuju untuk mendapatkan khidmat kaunseling di Rumah Prihatin,” ujarnya yang mendapatkan khidmat kaunseling di Klinik Mental Prihatin di Rumah Prihatin @ Grand Seasons.
Menurut penyanyi lagu Lalai itu, dia meluahkan rasa lega selepas menjalani rawatan kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin, Muhamad Nabil Che Musa di Rumah Prihatin.
“Saya rasa lega sikit selepas sesi kaunseling. Selama ini saya cuma pendam seorang diri. Bila dah luahkan semuanya baru rasa lebih baik.
“Semua masalah saya ceritakan pada Nabil. Alhamdulillah, amat lega berdepan situasi sekarang. Cuma saya kena ulangi lagi sesi ini untuk kali kedua pada masa yang sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, Baby Shima berkata, dahulunya dia merupakan seorang yang sabar dan kuat berdepan kecaman begini, namun sekarang keadaannya sudah berbeza.
“Sampai ke tahap ini saya dah betul-betul lemah. Kadang-kadang rasa nak terima tapi sampai satu tahap rasa ‘down’. Saya bukan tak boleh nak ditegur. Saya boleh terima dan tak kisah tapi anda nak tegur kena tahu adabnya bagaimana.
“Jangan sampai memaki hamun. Banyak yang menegur tapi cara mereka amat keterlaluan sehingga tahap menghina saya,” luahnya lagi yang sesekali menitiskan air mata mengenangkan kecaman yang dilemparkan kepadanya.
Shima juga mengaku, orang di luar sana selalu melihatnya tersenyum dan ceria dalam laman sosial, hakikatnya dia yang tahu depresi yang dialami.
“Di rumah saya amat tertekan sampai kepala saya betul-betul rasa berat. Kadang-kadang rasa badan mengigil, lemah dan tak boleh tidur sehingga kesihatan terjejas.
“Berat badan turun mendadak. Dulu berat saya 45 kilogram ke atas, sekarang tak sampai 40 kilogram. Selera makan saya okay, tapi entah lah.
“Nak buat kerja pun tak boleh fokus. Nak hafal skrip yang senang pun tak boleh. Ia sangat mengganggu,” tambahnya. – KopiPlanet.com
The post Akui Sedang Alami Tekanan & Berat Badan Turun Mendadak, Baby Shima Jalani Sesi Kaunseling appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: