Ads Top

Farhan Asri Akui Agak Malu Apabila Dikatakan Memiliki Wajah Seiras Hisyam Hamid

Pelakon yang semakin dikenali ramai, Farhan Asri mengakui agak terkejut apabila dikatakan memiliki wajah iras pelakon Hisyam Hamid selepas mereka bergandingan sebagai adik-beradik dalam drama bersiri Cukup Derita Itu yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Farhan berkata, dia ada menerima beberapa kiriman foto yang menyamakan wajahnya dengan bintang kelahiran Singapura itu di Instagram, namun hanya menganggapnya bagai langit dan bumi. 

“Mungkin sekali imbas ada iras, tetapi saya tak rasa kami memiliki wajah yang hampir serupa. Tapi kira okeylah apabila ada yang kata kami seiras dan digabungkan sebagai adik-beradik dalam drama ini. 

“Terus terang saya agak malu kerana wajah kami bagai langit dengan bumi. Tambahan Hisyam adalah seorang aktor yang cukup disegani dan hebat manakala saya ini hanyalah insan yang baru nak mengintai peluang dalam bidang ini,” ujarnya.

Jelas Farhan, dia menerima setiap komen positif yang diberikan dan menjadikan perkara itu sebagai  satu pembakar semangat supaya dia berjaya seperti pelakon tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu, biarpun sudah empat tahun mengintai peluang sebagai pelakon, Farhan menyatakan dia tidak pernah berputus asa untuk menantikan bakat seninya dikenali ramai.

“Saya masih anggap perjalanan saya dalam bidang lakonan ini masih baru. Tempoh empat tahun ini mengajar saya banyak perkara.

“Mungkin separuh orang menganggap saya sepatutnya sudah dikenali ramai atau popular tapi bagi saya biarlah nama saya lambat naik asalkan  tawaran lakonan sentiasa ada.

“Apa yang paling merisaukan saya jika kehadiran saya dikenali ramai tapi tiba-tiba nama saya merudum dan hilang daripada industri seni. Itu lebih menggerunkan sebab bidang lakonan adalah punca utama rezeki saya .

“Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini tawaran lakonan sentiasa ada, tidak kiralah watak pembantu atau utama. Ada saja  penerbit-penerbit yang tidak pernah saya bekerjasama telah beri saya peluang seperti dalam drama Cukup Derita Itu terbitan SR One Sdn Bhd,” katanya.

Selain Farhan dan Hisyam, drama bersiri 40 episod arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi oleh Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, dan Lia Natalia.

Cukup Derita Itu kini sedang ditayangkan di TV3 menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam. – KopiPlanet.com

The post Farhan Asri Akui Agak Malu Apabila Dikatakan Memiliki Wajah Seiras Hisyam Hamid appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.