Ads Top

Suami Serina Mengetahui Siasatan Terhadapnya, Mengaku Sudah Berkahwin Pada Februari Lalu

Seorang pegawai polis yang juga suami kepada pelakon Serina Redzuawan, Meor Mohamad Aidid mengetahui berkenaan siasatan dilakukan terhadapnya berkenaan isu tidak memohon untuk berkahwin kali kedua.

Meor berkata, dia juga sedia memberikan kerjasama dengan pihak berwajib dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Saya akan sedia memberikan kerjsama dengan pihak berwajib berhubung siasatan yang dilakukan.

Saya dapat tahu bekas isteri (Nur Hamizah Shaffee) ada membuat laporan polis konon dia dimadukan tanpa kebenarannya. Saya sedia bertanggungjawab,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Polis Perak menyerahkan siasatan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis berikutan Aidid sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.

Malah, JIPS Perlis ketika ini juga sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

Sejak beberapa hari lalu, kontroversi perkahwinan kedua Serina dengan Meor juga terus hangat dan diperkatakan sehingga kini.

Ia bermula dengan pendedahan bapa Serina sendiri iaitu Chef Wan yang meluahkan rasa terkilannya atas perkahwinan tersebut tanpa pengetahuannya.

Selain itu, Nur Hamizah pula mendakwa perkahwinan Meor dengan Serina berlangsung tanpa pengetahuannya sebagai isteri pertama serta menafikan dakwaan Serina yang pegawai polis berkenaan berstatus duda ketika mereka berkahwin.

Pada masa sama, Meor turut mendedahkan bahawa hubungannya dengan Nur Hamizah sudah lama bermasalah dan menegaskan Serina bukanlah menjadi punca keretakan hubungan mereka berdua.

“Saya akui hubungan dengannya (Nur Hamizah) sudah bertahun bermasalah dan hambar dan pintu hati saya sudah lama tertutup untuknya. Saya bernikah dengan Serina bulan Februari lalu.

“Memang benar ketika perkahwinan kali kedua (dengan Serina), dia masih isteri saya. Itu fakta yang saya tak boleh nafikan. Pada masa sama proses tuntutan cerai di mahkamah juga memakan masa.

“Kami hanya bercerai secara sah pada 9 Mac lalu. Kini hanya Serina isteri saya. Tak timbul lagi kisah atau perihal bermadu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Meor mengakui agak kecewa dan terkejut dengan dakwaan Nur Hamizah yang hubungan mereka tidak bermasalah.

“Hubungan kami adalah secara jarak jauh atas tuntutan kerja, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab. Malah, perkahwinan kami juga ada campur tangan keluarganya.

“Hati suami mana yang boleh tahan sabar apabila isteri tidak menghormatinya. Balik jenguk saya pun susah. Berbulan bulan saya terbiar tanpa dipedulikan perasaan dan kebajikan diri.

“Sehinggakan makan pakai saya pun tak terjaga. Ibu bapa dan kawan saya jadi saksi hidup ini macam orang bujang,” luahnya.

Selain itu, dia turut mendedahkan bahawa bukan dia yang mahu menceraikan Nur Hamizah.

“Dia sendiri yang tuntut cerai. Saya ada bukti surat mengenai tuntutan berkenaan. Dia tuntut cerai atas alasan tiada lagi persefahaman antara kami.

“Saya pula kenal Serina sekitar setahun lalu. Sedangkan masalah antara saya dan dia sudah berlanjutan sekian lama. Saya sudah lama makan hati dan memendamnya,” luahnya.

Pada masa sama, dia berharap agar bekas isterinya itu tidak menjadikan kehadiran Serina sebagai alasan mereka tidak bahagia dan seterusnya mengambil keputusan untuk berpisah.

Ujarnya, kini dia hanya mahu menjalani kehidupan yang bahagia bersama Serina dan dua anak tirinya.

“Saya begitu ikhlas sayangkan Serina dan anak-anaknya. Dia seorang wanita yang matang dan bijak menguruskan kehidupan.

“Selain itu, saya juga menghormati semua kenyataan bapa mentua (Chef Wan. InsyaAllah kami akan memperbaiki kekurangan diri serta berjanji akan menjaga Serina, anak dan rumah tangga kami dengan baik,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Suami Serina Mengetahui Siasatan Terhadapnya, Mengaku Sudah Berkahwin Pada Februari Lalu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.