Neelofa Buat Permohonan Maaf Berhubung Beberapa Isu Yang Tular
Pengacara dan usahawan popular, Neelofa akhirnya membuat permohonan maaf berhubung isu yang viral, terutama mengenai dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis perkahwinan serta pemergiannya ke Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Menerusi satu video yang dikongsi bersama pihak media, Neelofa menyatakan selepas timbul pelbagai spekulasi susulan dua isu terbabit yang menjadi viral, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta menerima dengan hati terbuka terhadap keputusan dan tindakan yang bakal dikenakan pihak berkuasa.
“Saya ingin memberi pencerahan berhubung dua perkara mengenai majlis perkahwinan saya baru-baru ini dan isu rentas negeri ke Langkawi.
“Saya tampil memberi kenyataan hari ini kerana saya dan suami serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak sudah menghadiri ke Balai Polis Dang Wangi untuk memberi kerjasama dan keterangan untuk bantu siasatan pihak berkuasa,” ujarnya.
Neelofa berkata, dia dan suami pergi pada awal minggu ini, manakala keluarga suami telah hadir beberapa hari lalu dan ahli keluarganya selesai beri keterangan hari ini.
“Alhamdulillah kehadiran ke balai polis sudah selesai. Kalau kita lihat ada banyak versi cerita di luar sana berkaitan dua isu ini.
“Jadi, saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun di luar pengetahuan saya berhubung dua isu ini,” jelasnya.
Menurutnya, dia dan suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa.
Jelasnya lagi, dia mengakui kurang menjaga peka berhubung isu-isu yang berlaku terhadap dirinya serta kurang menjaga sensitiviti mengenai hal ini terhadap semua pihak.
“Saya akui ada banyak perkara saya terlepas pandang. Sepatutnya saya beri contoh yang lebih baik mengenai hal itu.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Semoga bulan mulia ini menjadi Ramadan yang terbaik buat kita semua. Sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan mendapat ketenangan serta keberkatan, Insha-Allah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam pada itu, kertas siasatan membabitkan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz dijangka siap minggu ini.
Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.
Isu perlanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – KopiPlanet.com
https://www.instagram.com/tv/CNb77DOjAfo/?igshid=1sp5eqq7jj7mu
The post Neelofa Buat Permohonan Maaf Berhubung Beberapa Isu Yang Tular appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: