Ads Top

Enam Rapper Popular Muncul Dengan Lagu Hip-Hop Rap Der Raya

Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut oleh umat Islam tak lama lagi, pendengar bakal disajikan dengan sebuah lagu raya terbitan Def Jam Malaysia yang 90 peratus bertemakan genre hip-hop yang segar.

Lagu yang diberi judul Rap Der Raya ini menampilkan 6 orang ‘rapper’ yang sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air sama ada pasaran ‘mainstream’ ataupun ‘undergound’. Mereka adalah Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.

Rap Der Raya ciptaan asal Yonnyboii dan diberi sentuhan istimewa dengan kerjasama Luca Sickta ini memberikan nafas baru dalam ‘trend’ penulisan lagu raya yang sudah ada sediakala.

Menekankan genre hip-hop yang dibawa oleh kesemua artis ini, mereka percaya bahawa Rap Der Raya bakal memberi impak yang besar kepada dunia seni tanah air.

Selaku tunjang utama dalam Rap Der Raya, Yonnyboii menyatakan harapan agar lagu ini diterima dan membuka hati para pendengar untuk menghayati lagu dari generasi baru.

Menurut Yonnyboii, lagu ini telah ditambah ‘perisa’ oleh rakan-rakan duet yang lain daripada ‘demo’ asal yang dihasilkan olehnya sendiri.

“Saya rakam berseorangan sahaja di rumah atas kerana kesibukan jadual harian, dan diberi motivasi untuk meneruskan rakaman daripada Luca Sickta dan Def Jam Malaysia.

“Tentang rakaman video muzik pula, sangat menyeronokkan dan banyak pengalaman baru, dapat menegenali artis-artis yang lain dan mereka yang terlibat di sebalik tabir iaitu warga kerja Def Jam Malaysia dan Universal Music Malaysia dengan lebih rapat,” kata Yonnyboii.

Salah seorang penerbit muzik untuk Rap Der Raya, Luca Sickta menyatakan lagu ini berpotensi untuk menerapkan “mood” raya kepada semua yang mendengar. Alunan melodi asal dari lagu Yonnyboii membuatkan dirinya tertarik untuk menerbitkan ia kembali dalam versi baru.

Melodi korus memberi idea untuk dia menyusun komposisi muzik campuran moden dan 80- an. Rap Der Raya ialah lagu rap raya pertama dikeluarkan setelah sekian lama. Gabungan 6 ‘rapper’ dalam lagu ini turut menjadi faktor lagu ini lain dari yang lain.

“Sangat ringkas dan santai, ada pelbagai perspektif didalam lagu ini, Luca mengambil perspektif makanan di hari raya sebagai salah satu intipati seiring dengan konsep lagu ini. Segala proses dipermudahkan walau dikala wabak Covid-19 masih lagi menular, proses menyiapkan rakaman lagu ini tidak sampai dua minggu”.

Salah seorang lagi ‘rapper’ yang semakin membina nama iaitu Kmy Kmo, yang juga merupakan rakan duet Luca Sickta yang sering bergandingan dalam menghasilkan karya-karya hebat turut terlibat dalam projek lagu raya bergenre hip-hop ini.

“Proses rakaman video muzik lagu ini adalah satu kenangan manis bagi saya, kami dapat rasakan kemeriahan raya lebih awal, seperti satu keluarga besar yang pulang ke kampung dan raikan perayaan Aidilfitri ini bersama-sama dengan penuh gembira.

“Ini kira pertama kali kami digabungkan dalam satu lagu beramai-ramai untuk menjayakan lagu raya ini dan video muziknya bersama. Kita dapat lihat macam-macam telatah, penuh dengan gelak tawa dan riang ria,” jelas Kmy.

Antara ‘rapper’ yang turut ditampilkan dalam Rap Der Raya adalah Siqma. Siqma menyatakan pendapatnya bahawa lagu berkenaan adalah sebuah karya yang sangat unik kerana wujudnya gabungan antara ‘rapper-rapper’ dan melodi-melodi yang berlainan.

Proses penulisan lagu juga dikhabarkan sangat mudah kerana mereka telah diberikan topik untuk dipilih dan dijadikan lirik untuk bahagian masing masing.

“Saya harap generasi sekarang dapat menerima konsep lagu raya baru yang kami bawa ini dan tidak lupus ditelan zaman” kata Siqma menyatakan harapan untuk lagu ini.

Rap Der Raya dilancarkan di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 30 April dan video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia pada hari yang sama. – KopiPlanet.com

The post Enam Rapper Popular Muncul Dengan Lagu Hip-Hop Rap Der Raya appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.