Warner Music & Todak Music Lakar Sejarah Jalinkan Kolaborasi Untuk Pengedaran & Promosi Yang Lebih Meluas
Warner Music Malaysia dan Todak Music mencipta sejarah dengan menjalinkan kerjasama untuk pengedaran lagu ke semua platform penstriman yang dijangka dapat membantu dalam mempromosikan lagu yang dikeluarkan dengan lebih efektif serta meluas.
Apa yang menariknya, kerjasama berkenaan dilakar menerusi penganjuran majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) secara atas talian atau virtual/maya yang mengetengahkan format hibrid baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq berkata, kolaborasi bersama Warner Music Malaysia diharap bakal melahirkan produk yang terbaik bagi pasaran industri hiburan tanahair mahupun luar negara.
“Program ini diadakan bagi mengumumkan secara rasminya kerjasama di antara dua buah syarikat yang telah terjalin sejak tahun lalu. Kerjasama ini membabitkan promosi, produk dan juga kutipan royalti bagi artis naungan Todak Music.
“Sudah pasti ia menjadi penanda aras untuk kami menghasilkan produk yang terbaik. Kami juga amat berbangga apabila menerima Anugerah Made For The World 2020 bagi kategori Music Publishing oleh Niaga Times baru-baru ini,” katanya.
Todak Music telah ditubuhkan pada tahun 2019 dan beroperasi sebagai sebuah syarikat rakaman, studio tarian, muzik dan pengurusan bakat.
Selain itu, mereka turut menyediakan perkhidmatan studio rakaman yang membekalkan kepelbagaian audio dan visual yang cukup praktikal dan sesuai bagi pengguna tempatan mahupun antarabangsa.
Komited untuk mengukuhkan namanya di dalam persada hiburan tempatan dan antarabangsa, Todak Music yakin kualiti hiburan yang disajikan dapat direalisasikan tanpa berkompromi tarikan komersial.
Tidak hanya akan memfokuskan perniagaannya kepada pasaran tempatan semata-mata, mereka sebenarnya mempunyai perancangan untuk mengembangkan jenamanya ke negara jiran Singapura dan Indonesia menerusi promosi dan penghasilan program hiburan berkelas tinggi.
Ia selaras dengan cita-citanya untuk lebih fokus di dalam melahirkan lebih ramai artis berkualiti yang relevan kepada industri. Antara artis yang bernaung di bawah Todak Music ialah Shiha Zikir, Fadh Majid, Razak A’ai dan Dina Nas.
Dalam pada itu, Ikmal menjelaskan bawaha misi penubuhan unit Todak Music sebagai sebuah syarikat rakaman adalah bagi mengasah serta mencungkil bakat penyanyi yang berkualiti dan berkebolehan di dalam industri hiburan tanah air.
“Di samping itu, kami juga ingin membekalkan produk hiburan yang berkualiti kepada semua komuniti pendengar di dalam mahupun luar negara. Ini termasuklah dengan penglibatan secara langsung dengan komuniti pemuzik komersial dan underground melalui program pembangunan muzik yang kami terbitkan menerusi rakan strategik antarabangsa terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Ini dapat dilihat melalui produk Shiha Zikir yang merakam semula lagu Kris Dayanti dan telah mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Indonesia,” kata Ikmal.
Tambahnya, sebagai CEO Todak Music, adalah menjadi tugasnya untuk memastikan kualiti produk yang dihasilkan berada di tahap terbaik dan seiring dengan peredaran teknologi dan pasaran semasa.
“Kami sentiasa mengikuti perkembangan dan trend muzik semasa supaya dapat menseimbangkan pengeluaran produk artis dibawah pengurusan kami. Ini dapat dilihat dengan transformasi melalui platform digital seperti YouTube, Instagram, Spotify dan terkini aplikasi Tik Tok yang semakin menjadi trend promosi,” ujarnya.
Mengakui turut terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu, Ikmal menjelaskan ia bukanlah penghalang untuk mereka terus kekal bertahan dan meneruskan misi pembangunan muzik melalui pelbagai rancangan strategic yang disusun mengakui kesesuaian keadaan semasa.
Selain Todak Music, syarikat induknya Todak Fusion lebih tertumpu kepada penyediaan khidmat bekalan peralatan dan kelengkapan berteknologi tinggi untuk tujuan penganjuran secara maya. Ia bagi memudahkan syarikat-syarikat yang berhasrat mengendalikan acara secara atas berikutan pandemik COVID-19 bolehlah mendapatkan bekalan peralatan melalui Todak Fusion.
Di bawah Todak Fusion turut mempunyai rangkaian perniagaannya yang lain iaitu ruang acara yang dikenali sebagai Kotak Hitam. Terletak di Setia Alam, Shah Alam, ruangan berkenaan sesuai untuk kegunaan penganjuran pelbagai acara seperti latihan, mesyuarat, brainstorming, acara muzik, sidang media, pertunjukkan fesyen serta majlis pertunangan dan perkahwinan.
“Selaras dengan perkembangan trend industri hiburan digital, kami juga memiliki Todak TV yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penerbitan platform program hiburan berkualiti tinggi yang bersesuaian untuk segenap lapisan masyarakat.
“Misi Todak TV adalah untuk menghasilkan program hiburan tanpa sempadan yang mensasarkan lebih ramai penonton dengan mengukuhkan pasarannya melalui penerbitan kandungan program yang relevan, ‘intrend’ serta mendapat banyak permintaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy pula menyatakan bahawa pihaknya sangat berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Todak Music dan berharap agar kerjasama yang baik ini dapat mengembalikan kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Usaha yang dilakukan Warner Music dan Todak ini adalah sebahagian inisiatif menyelamatkan industri muzik di Malaysia, sekali gus memastikan ia terus berkembang pesat.
“Fokus kami antaranya untuk mencungkil bakat-bakat baharu lengkap kualiti dan pakej yang baik, untuk diketengahkan ke persada muzik antarabangsa,” katanya. – KopiPlanet.com
The post Warner Music & Todak Music Lakar Sejarah Jalinkan Kolaborasi Untuk Pengedaran & Promosi Yang Lebih Meluas appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: