Ads Top

Setelah 22 Tahun Beroperasi, ntv7 Kini Jadi Saluran Hub Pendidikan Malaysia

Saluran ntv7 telah melalui perubahan berperingkat sejak Oktober 2020 lalu sebagai saluran maklumat hibur (infotainment) dan terkini, ntv7 berubah wajah setelah 22 tahun bersiaran.

Kini, saluran berkenaan akan menyiarkan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan kurikulum dan kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”), di samping program-progam berkaitan pendidikan termasuk kandungan didik hibur (edutainment).

Menariknya, ntv7 bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melancarkan saluran khusus TV Pendidikan dan Didik Hiburan yang dikenali sebagai DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) bermula 16 Februari lalu.

Ia dilancarkan Perdana Menteri Malaysia, ​Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), DidikTV KPM di ntv7 serta saluran Youtube/Facebook ntv7 Malaysia.

Selain itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, turut hadir dalam rancangan MHI bagi menghuraikan dengan lebih lanjut kandungan saluran DidikTV KPM.

Seiring dengan inisiatif ini, ​rombakan jadual penyiaran di ntv7 telah memberi laluan kepada saluran DidikTV KPM yang akan bersiaran setiap hari.

Kandungan yang disiarkan ini telah diluluskan oleh KPM selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan.

Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.

Perubahan dalam kandungan saluran ntv7 merupakan satu sokongan drastik dalam membantu usaha KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata dalam usaha untuk mengetengahkan ntv7 sebagai hub pendidikan Malaysia, Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah.

“Saluran ntv7 komited untuk menyajikan program-program yang bersasar kepada golongan muda supaya menjadi sumber inspirasi dan hub maklumat kepada generasi muda.

“Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari, pukul 7.30 malam dan siaran ulangan pada pukul 12.00 tengah hari keesokannya. Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan ko-kurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih menari lagi apabila tiga program tersedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar.

Bagi calon-calon SPM, ntv7 akan menambah slot waktu program popular Road To Success SPM 2020 bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini.

Ikuti DidikTV KPM, setiap hari dari jam 7.00 pagi di ntv7, saluran 107 di MyTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di unifi tv, serta YouTube ntv7 Malaysia. – KopiPlanet.com

The post Setelah 22 Tahun Beroperasi, ntv7 Kini Jadi Saluran Hub Pendidikan Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.