Ads Top

Pernah Alami Kemurungan Akibat Diberhentikan Kerja, Shukri Zainal Tekad Ingin Bangkit Semula

Mengakui pernah mengalami kemurungan pada tahun 2016 sewaktu mula berjinak-jinak dengan dunia seni, penyanyi Shukri Zainal mendedahkan pernah terbit kekesalan yang bersarang di hati.

Ketika melalui fasa getir kemurungan itu, Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Azam Zainal Abidin, 34, rancak mempromosikan single sulungnya berjudul Sudahlah Sayang hasil ciptaan Zul 2 By 2 dilancarkan pada 2 September 2016.

Sehinggakan pada satu tahap Shukri diberhentikan kerja tetap sebagai pegawai di sebuah agensi perbankan kerana terlalu sibuk mengejar cita-cita dan dikatakan gagal memenuhi komiten kerja tetap di bank berkenaan.

Single pertama itu biarpun kurang meledak, ternyata ia beroleh peluang menjadi runut bunyi (OST) drama bersiri Sayang Papa Saya Tak dan Mawar Murni. 

“Saya akui khilaf sendiri akibat terlalu ghairah nak jadi penyanyi hinna saya tidak fikir langsung keutamaan kerja bank yang saya sudah ceburi sejak tujuh tahun. Namun, saya sedar dan akur setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Saya ada rekod mengesahkan pernah mengalami kemurungan. Ketika itu saya jadi lemah semangat, hilang selera makan, berat badan menurun dan macam macam lagi. Saya sampai kena ambil ubat anti depresi kerana mahu mengatasi masalah kebimbangan dan susah nak tidur,” jelasnya.

Menurut Shukri, dia cuba untuk bangkit semula dan berusaha mengeluarkan single kedua, tetapi sering tertangguh kerana masalah kemurungan.

Ujarnya, pada 28 Februari 2019, dia berjaya juga menghadirkan single berjudul Atas Cintamu garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen.

Bagaimanapun, nasib masih tidak menyebelahinya apabila single kedua itu gagal menyerlah bakat Shukri yang ketika itu dikenali dengan nama Azam Smile.

“Selain masalah kekurangan promosi, masalah kemurungan dan kesihatan membataskan pergerakan saya. Saya sendiri mengakui ada kalanya seperti hilang arah dan tidak fokus dengan apa yang dimahukan.

“Malah ketika masih bekerja di agensi perbankan pun saya buat sesetengah perkara tanpa fikir panjang. Saya  amat menyesal dan insaf kerana memantis atau mencukur kening. Perbuatan itu terang-terangan haram. Konon nak bergaya macam artis K-Pop.

“Tambah pula saya jenis yang mementingkan penampilan dan mengutamakan cara berpakaian yang kemas serta bergaya. Sekarang kalau ada tuntutan kerja, saya gunakan teknik solekan untuk menutup kening yang dipantis itu,” katanya.

Dalam pada itu, untuk tahun 2021 yang baru bermula dia berharap dapat memberi sinar baru buat dirinya. Malah, dia optimis dengan single ketiga berjudul Puisi Rindu dan meletakkan harapan tinggi kepada label muzik Kame Music Production.

Jelasnya, single ketiga itu ciptaannya sendiri serta  bersama Avny sama sama menulis lirik. Lagu itu turut melakukan ‘tribute’  kepada Allahyarham Datuk Nassier Wahab. 

Selain itu, atas nasihat ibu tercinta, dia juga menukar nama komersial yang asalnya Azam Smile dan kini menjadi Shukri Zainal

“Saya mula mengenali arwah Nassier Wahab  pada tahun 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Kami boleh serasi dan rapat macam adik beradik.

“Arwah sendiri banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah seorang pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.

“Tapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik. Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik “humming”. 

“Selepas itu saya suarakan kepada Avny apa yang terlintas di hati. Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu,” katanya

Kata Shukri lagi, penggambaran video muzik single ketiga ini ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios. Penggambaran itu dibuat pada Disember tahun lalu.

“Lebih menyentuh hati, video muzik itu penggambarannya dilakukan di kediaman rasmi arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah,  Aliff juga berlakon sebagai cameo.

“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih bercampur baur kerana keluarga arwah juga turut serta melihat proses pengambaran dari awal hingga akhir. Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama,” katanya

Lagu Puisi Rindu sudah  boleh distrim di semua platform digital terpilih. Video muzik rasminya akan dilancarkan 5 Februari ini di YouTube Kame Music Production

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mempunyai kelayakan dalam Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Islam Antarabangsa.

Shukri aktif di media sosial seperti di Twitter @shukrizainal_, Instagram @shukrizainalofficial dan  Facebook (Shukri Zainal)

Saat ini juga ketika berdepan situasi pandemik Covid-19, dia  aktif menerima permintaan paid review yang kebanyakannya tertumpu kepada makanan dan produk kesihatan kulit. – KopiPlanet.com

The post Pernah Alami Kemurungan Akibat Diberhentikan Kerja, Shukri Zainal Tekad Ingin Bangkit Semula appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.